Letih tetapi ikhlas
Luahan Seorang Warga Sarawak Bertugas Di Hospital Awam Di Semenanjung Malaysia Mengenai Situasi Covid-19. Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak Covid-19 diiktiraf sebagai pandemik. Ini sekaligus menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk adalah sangat membimbangkan.
Malaysia telah menghadapi Covid-19 sebelum pengisytiharan ini dan kini mencatatkan 20 kes baharu sejak Rabu. Perkara yang telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermaksud jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 149 kes. Manakala kita sebagai warga awam dinasihatkan untuk mengelak pergi ke tempat sesak dan menjaga kebersihan masing-masing untuk mencegah penyakit ini, kita perlu ingat juga mereka yang bertindak sebagai frontliner menghadapi Covid-19 di mana-mana hospital.
“Dikecam online, rasa macam tidak dihargai…”
Ini adalah luahan salah satu warga Sarawak yang kini bertugas sebagai salah seorang jururawat di salah satu hospital awam di Semenanjung Malaysia. Menurut beliau, beliau kecewa dengan sesetengah warga awam yang mengecam kakitangan KKM dimana mereka dituduh tidak melakukan kerja yang bagus semenjak perlantikan menteri baharu KKM. Menurut beliau,
“Saya terbaca satu komen dari Youtube mengenai kes Covid-19 yang kini makin meningkat, dimana seorang pengguna meninggalkan komen seperti “KKM buat apa ni? Dulu 26 kes, sekarang dah 150.” Saya kecewa dengan sesetengah warga awam yang berfikiran macam ini kerana kami yang berkakitangan KKM ini dianggap macam tidak buat kerja, sedangkan kami ‘berbungkus’, letih semata-mata tanggungjawab nak jaga semua orang, ada daripada kita tidak dapat balik jumpa keluarga, ada yang tidak dapat bercuti. Tapi semua benda kami buat dengan ikhlas.”
Beliau bertambah lagi, hal kesihatan jangan dipolitikkan. Katanya, wabak ini boleh bermutasi dan tiada mengena dengan usaha KKM. Disebaliknya, beliau menasihati para-para penganjur untuk membatal atau menangguhkan mana-mana program terbuka kepada orang awam. Beliau berkata,
“Mana-mana program atau acara terbuka kepada awam akan mendatangkan risiko tinggi. Wabak ini senang merebak dan ia hanya memerlukan seorang sahaja untuk menjangkit berbelas orang. Saya berharap para-para penganjur mendengar nasihat ini kerana saya sendiri yang berhadapan patient dijangkiti Covid-19. Jika mahu pun, anda boleh lakukan ketika situasi sudah redah.”
Tambahan lagi, beliau menasihati netizen untuk mengelak kongsi maklumat-maklumat tidak sahih dalam media sosial. Sekiranya anda mahu maklumat sahih mengenai Covid-19, anda boleh merujuk ke mana-mana media sosial dikendali oleh KKM, seperti Twitter KKMPutrajaya, Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun portal rasmi KKM. Sekiranya anda terbaca maklumat mengenai Covid-19 selain dari media sosial KKM, pastikan maklumat tersebut adalah sahih daripada KKM.
“Please jujur dengan kami ketika datang untuk check up…“
Menurut seorang jururawat dari salah satu hospital swasta di Sarawak, beliau dan rakan sekerja beliau meluah kepada warga awam ketika datang untuk pemeriksaan kesihatan. Beliau berkata,
“Kami semua (jururawat-jururawat di Sarawak) kini dalam keadaan standby. Namun, sekiranya ada orang datang untuk check up, orang tersebut dikehendaki untuk memberitahu dimana mereka pergi atau melancong sebelum ini. Walaupun itu adalah salah satu prosedur penting, kadang-kadang ada sesetengah pesakit tidak jujur dengan kami, sehingga kami kena marah kerana sibuk dengan hal peribadi mereka,”
Beliau berkata pesakit-pesakit sebegini bertindak demikian kerana tidak mahu dipandang ‘pelik’ oleh orang sekeliling. Walau bagaimanapun, pandangan orang terhadap anda adalah nombor 2, kesihatan anda nombor satu. Jadi, sekiranya anda pergi ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan, diharapkan anda jujur sahaja dengan maklumat yang diperlukan, ya?
Tabik kepada kakitangan perubatan!
Dengan pengisytiharan Covid-19 sebagai satu pandemik, wabak yang menyebar dengan meluas merentasi sempadan malah hingga ke seluruh dunia ini kini tengah dikawal atas usaha KKM dan kakitangannya. Disebalik mengecam dan tidak memberi kerjasama kepada mereka, kita seharusnya bekerjasama dengan mereka bagi membantu mengawal situasi ini. Sama-sama lah kita boleh mencegah Covid-19.