Padan muka – Ini reaksi warganet melihat kejadian ini
Mat Rempit Lari Bertempiaran Lepas Port Lepak di Airport Kuching Diserbu Polis. Pada malam 1 Ramadan tahun ini, tatkala orang lain sedang sibuk mengimarahkan masjid dan surau-surau untuk mengerjakan solat terawih pertama untuk tahun ini, sekumpulan besar mat-mat rempit di Kuching pula dilihat lari bertempiaran apabila port ‘lepak’ mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching diserbu pihak polis.
Dalam satu hantaran video yang tular di media sosial, kumpulan besar pemilik motosikal ini kelihatan panik dan segera melarikan diri daripada didekati oleh pihak polis yang datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi melakukan pemeriksaan.

Tunjuk belang, rem minyak sekitar jam 12 tengah malam ke 1 pagi setiap malam minggu
Menurut warganet, para pekerja di lapangan terbang berkenaan sudah lama mengetahui tentang aktiviti mereka yang memenuhkan kawasan jalan lapangan terbang tersebut, terutamanya di bahagian flyover keluar dari anjung pelepasan.
Kehadiran mereka di situ juga tidak lain tidak bukan hanya untuk ‘menunjuk’ belang dan skil motosikal mereka yang tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan penunggang MotoGP.
Malah, mereka juga turut berasa tidak senang dengan kehadiran mat rempit di lapangan terbang berkenaan kerana mengganggu lalu lintas dan imej lapangan terbang itu secara keseluruhan.
Lepas kena serbu, pendengaran saya pun kembali normal. Terima kasih PDRM – warganet
Tinjauan di laman komen mendapati mat rempit ini membuat bising di kawasan lapangan terbang seperti bermain ‘rem’ minyak. Bukan itu sahaja, corak kehadiran mat rempit ini sudah dapat dijangka iaitu sekitar Jumaat malam Sabtu dan Sabtu malam Ahad, dalam jam 12 tengah malam ke 1 pagi.

Ada juga warganet yang berseloroh mengatakan bahawa sejak kehadiran met rempit di sana, pendengaran yang bagus tiba-tiba menjadi pekak. “Alhamdulillah, lepas kena serbu semalam, pendengaran saya pun kembali normal. Terima kasih PDRM,” ujarnya di ruangan komen.


Apa pendapat anda? Pernahkah anda berjumpa dengan golongan seperti ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching? Kongsikan di ruangan komen.

