Usaha Tangga Kejayaan.
Memanfaatkan Teknologi Masa PKP, Ini Solusi Kreatif ‘Startup’ Sarawak. Memastikan perniagaan berjalan dengan baik semasa Perintah Kawalan Pergerakan bukanlah suatu perkara yang mudah. Bahkan, ia menuntut seseorang usahawan untuk berfikir di luar kotak bagi menyelesaikan masalah sekaligus mempertahankan perniagaannya daripada hanyut di bawa arus kerugian.
Walau pun masih kecil dalam dunia bisnes yang mencabar, namun usahawan syarikat pemula sentiasa mempunyai solusi yang kreatif untuk beradaptasi dengan cabaran semasa. Itulah yang membuatkan golongan ‘startup’ ini begitu unik dan menyerlah daripada usahawan konvensional.
Usahawan syarikat pemula ini dilihat begitu ‘perform’ semasa PKP. Apakah rahsianya? Mari ikuti perkongsian mereka.
1. Majoh! – Alumni TEGAS Pre-Accelerator 2018
Laman sesawang : www.majoh.com.my | FB: https://www.facebook.com/majoh.com.my/ | IG: https://www.instagram.com/majoh.com.my/

Majoh! merupakan sebuah entiti ‘startup’ yang menyediakan perkhidmatan ‘tiffin’ iaitu membekalkan masakan rumah atau ‘home-cooked meals’ kepada individu yang sibuk. Bersempena bulan Ramadan, mereka membuka satu lagi perkhidmatan khas iaitu platform transaksi percuma untuk peniaga dan pembeli melalui laman sesawang mereka.
Jalin Kerjasama Dengan ILoveBorneo, Hasilkan e-Bazaar Ramadan
Memandangkan negara masih berada dalam fasa PKP pada bulan Ramadan tahun ini, Majoh! telah melancarkan inisiatif e-Bazaar Ramadan percuma dengan kerjasama ILoveBorneo. Menerusi e-Bazaar tersebut, laman sesawang e-Bazaar ILoveBorneo menyediakan platform untuk para peniaga menyenaraikan juadah umpama direktori ‘Yellow Pages’ sekaligus dipromosikan secara percuma di Facebook dan laman sesawang ILoveBorneo.


Pihak Majoh! pula memberikan fleksibiliti kepada peniaga untuk menyenaraikan jualan mereka secara satu per satu, melihat jumlah pembelian yang dihasilkan serta menyediakan servis ‘runner’.

Sentiasa ‘Hustle’, Jangan Cepat Menyerah
Berevolusi daripada sekadar menyediakan perkhidmatan ‘home-cooked meals’ kepada jaringan e-Bazaar yang turut menyediakan khidmat runner, Majoh! berpegang kepada prinsip sentiasa ‘hustle’ dan tidak cepat mengalah.
Malah, syarikat pemula ini menganggap fasa pandemik ini sebagai ujian kerana mereka yang benar-benar kental pasti akan menemui jalan keluar, manakala yang lemah akan terus gugur dan lenyap.
2. Uncle Green – Pemenang Sarawak Shell LiveWIRE 2018
FB: Uncle Green | IG: https://www.instagram.com/unclegreenfarms

Syarikat pemula yang merupakan pemenang Sarawak Shell LiveWIRE 2018 ini pula diberi nama Uncle Green. Mereka merupakan syarikat ladang pertanian yang berpangkalan di Miri dan menggunakan teknologi hidroponik untuk menanam sayur-sayuran. Diasaskan pada tahun 2019, kepakaran mereka ialah menghasilkan varieti salad yang kebiasaannya digunakan untuk makanan seperti hidangan salad, barbeku dan burger.
Selain Menanam Di Ladang, Set Hidropronik Mini Pun Boleh Jadi Bisnes!
Menurut Uncle Green, mereka menghadapi kesukaran untuk mengembangkan perniagaan seperti yang dijangka kerana perniagaan ini memerlukan pelaburan modal yang intensif. Walau bagaimanapun, musim PKP membuka perspektif baru kepada mereka. Apa kata orang ramai tanam sayuran sendiri? Idea bijak!
Oleh itu, mereka mula membina set hidroponik mini yang mudah dan boleh diletakkan di halaman belakang rumah. Bahkan, ia juga sesuai untuk mereka yang tidak berpengalaman tetapi tetap mendapatkan hasil yang diingini. Bukan itu sahaja, sayuran hidroponik adalah sihat dan selamat kerana ia bebas racun perosak.

Untuk pelan jangka masa panjang, Uncle Green berhasrat untuk membantu lebih banyak individu dengan berkongsi ilmu untuk membina taman hidroponik sendiri. Lama-kelamaan, taman hidroponik mereka pastinya berupaya menjana pendapatan sampingan.
Usahawan Mesti Berfikiran Jauh, Pilih Bisnes Jangka Panjang
Uncle Green percaya kepada model perniagaan sepanjang hayat berbanding perniagaan jangka pendek. Seseorang usahawan haruslah berfikiran jauh. Bukan itu sahaja, anda harus bijak memilih perniagaan yang mempunyai pasaran sehingga berdekad lamanya berbanding perniagaan pasaran beberapa tahun sahaja. Pada era ini, anda harus mencari jalan bagaimana untuk menjadikan perniagaan ‘offline’ anda relevan dengan kaedah ‘online’. Dengan itu, barulah anda akan selamat dari krisis.
3. VOLUME R&D – Alumni TEGAS Pre-Accelerator 2019
Website: https://www.volumeresearch.net/

Volume R&D pula merupakan syarikat kajian dan pembangunan kontrak. Syarikat alumni program TEGAS Pre-Accelerator 2019 ini telah mendapat kelulusan daripada Malaysian Investment Development Authority (MIDA).
Volume R&D menyedari bahawa terdapat prasarana yang memerlukan inovasi terutamanya penggunaan alat bantuan pernafasan untuk pesakit yang sedang menghadapi derita wabak pada saat ini. Maka, mereka kini sedang membangunkan alat bantuan pernafasan, CPAP atau Bi-PAP untuk pesakit bermasalah respiratori.

Hasilkan Ventilator Kurang Dari RM 100
Sasaran kajian mereka pula ialah keupayaan menghasilkan alat bantuan pernafasan yang bernilai kurang daripada RM 100.00. Tujuan utamanya adalah membantu negara membangun dan negara dunia ketiga untuk menghasilkan alat bantuan pernafasan sendiri sekiranya berlaku gelombang kedua dan ketiga pandemik ini.


Produk Yang Baik Sebagai Senjata Bangkit Apabila Ekonomi Pulih
Jelas Volume R&D lagi, ini adalah waktu untuk kelangsungan hidup. Anda harus anjakkan fokus kajian dan pembangunan untuk jangka masa 18 bulan akan datang. Walau pun ekonomi sekarang semakin lumpuh, namun produk anda adalah senjata untuk anda bangkit sekiranya ekonomi semakin pulih.
4. VROOM Delivery – Alumni TEGAS Pre-Accelerator 2019
Website: https://vroomdelivery.my/ | FB: Vroom Delivery MY

Vroom Delivery ialah syarikat penghantaran ‘on-demand’ yang menyediakan perkhidmatan kepada kebanyakan syarikat pemula dan SME di Kuching. Pihaknya turut menyediakan platform servis tempahan yang mengubungkan rakan penghantar kepada pelanggan. Berfungsi umpama ‘Uber’, para pelanggan tidak lagi perlu mengupah ‘runner’ dan mengeluarkan kos operasi yang lebih.
Antara perniagaan yang berkolaborasi dengan Vroom Delivery kini ialah operasi berkaitan cermin mata, barangan runcit, penjual bunga, farmasi, dan banyak lagi. Kebanyakan mereka mengakui mempunyai capaian pelanggan yang lebih luas apabila menggunakan khidmat syarikat ini.


Permintaan Semasa PKP Memberangsangkan, Amalkan ‘Contactless Delivery’
Pada musim PKP pula, Vroom Delivery menerima permintaan yang sangat memberangsangkan berikutan kedai-kedai tidak dapat beroperasi seperti biasa. Justeru, kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk membantu para peniaga ini menyampaikan produk jualan mereka meliputi bahagian Kuching, Kota Samarahan, Petra Jaya dan Padawan.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pelanggan sentiasa terjamin, Vroom Delivery turut mengamalkan polisi penghantaran tanpa kontak (contactless delivery).
Cipta Solusi Untuk Penuhi Kehendak Pelanggan Dalam Situasi Semasa
Menurut syarikat pemula ini, strategi terbaik buat masa ini adalah untuk mengurangkan keperluan bukan asas dan beroperasi dengan perbelanjaan yang paling minimum. Bukan itu sahaja, anda harus sentiasa peka dengan bantuan kerajaan dan jadi seorang yang kreatif. Malah, anda harus cuba mengadaptasikan solusi anda kepada pasaran yang kurang terjejas.
Ianya bukan semata-mata tentang fokus untuk kekal hidup tetapi juga membuka cara untuk memenuhi kehendak pelanggan dalam situasi semasa.
5. Realfun Learning Centre – Alumni TEGAS Pre-Accelerator 2019
FB: RealfunLC | IG: RealfunCentre

Kisah syarikat pemula ini juga tidak kurang hebatnya. Realfun Learning Centre memfokuskan kepada perkhidmatan pengajaran ‘coding’ dan pembinaan permainan, animasi, cerita dan aplikasi yang menarik.
Dari Bilik Darjah Ke Kelas ‘Online’
Sebelum PKP, kelas mereka diadakan secara bersemuka di bilik darjah atau suasana sekolah. Namun, mereka juga berasa lega dengan penerimaan ibu bapa terhadap pelaksanaan kelas secara dalam talian pada musim ini.

Nisbah guru kepada pelajar masih kekal pada jumlah yang agak rendah agar para pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Tambahan pula, teknologi serta instrumen terbaharu membolehkan mereka menyampaikan pengajaran secara lebih efektif.
Pelajar Dari Luar Negara Turut Serta
Tambah Realfun, mereka bukan sahaja mempunyai pelajar yang berasal dari Miri, tetapi juga dari Kuala Lumpur, New Zealand, dan Singapura. Untuk kelas ‘coding’ atas talian pula, mereka mengadakan program ‘Game Creation’ di mana setiap pelajar akan mencipta 4 permainan berbeza dalam masa 4 minggu. Malah, para pelajar akan mempelajari konsep ‘coding’ permainan yang berbeza setiap minggu seperti loop, events, variables dan sebagainya.

Kelas ini diadakan 2 kali seminggu dengan setiap kelas memperuntukkan masa selama 1 jam 30 minit. Para pelajar hanya memerlukan komputer riba dan ‘headset’ untuk mula belajar. Mudah!
Usahawan Perlu Inovatif, Cepat Beradaptasi
Sebagai syarikat berasaskan teknologi, Realfun berpendapat bahawa usahawan perlu bersifat inovatif, cepat belajar dan berubah ke arah yang lebih baik. Realfun mengakui telah mencuba pelbagai cara untuk memastikan syarikatnya bertahan. Walau pun kebanyakan tidak berhasil, namun apa yang paling penting ialah anda perlu cepat beradaptasi. Katanya, lebih baik mencuba daripada tidak melakukan apa-apa.
Jika mereka boleh keluar dari zon selesa semasa PKP dan terus ‘perform’ dalam perniagaan, mengapa tidak anda?
Nothing is impossible.
Sebelum ini, kami telah kongsikan pengalaman ‘startup’ berjuang semasa PKP. Baca selanjutnya di sini :