Dunia kini tidak mempunyai 4 lautan tetapi sebaliknya ada 5 lautan utama!
Memperkenalkan Lautan Selatan, Lautan Kelima Yang Diiktiraf Sebagai Lautan Utama Dunia. Setakat hujung minggu lalu, terdapat 4 lautan utama di dunia. Umum mengetahui bahawa lautan utama di dunia terdiri daripada Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Atlantik, dan Lautan Artik.
Kini, anda perlu mengetahui bahawa lautan utama di dunia telah dikemaskini daripada 4 lautan kepada 5 lautan dengan pengisytiharan terbaharu adalah Lautan Selatan. Perkara ini diumumkan oleh Komuniti National Geographic sempena Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun 2021.
Lautan Selatan atau lebih dikenali dengan gelaran Lautan Antartika
Menurut ahli geografi, Alex Tait, Lautan Selatan atau sinonim dengan gelaran Lautan Antartika sememangnya telah lama diiktiraf oleh para saintis. Namun, disebabkan tiada persefahaman dan persetujuan di peringkat antarabangsa, komuniti tersebut tidak pernah mengiktirafnya sebagai salah sebuah lautan utama di dunia.
Sejak National Geografi mengolah peta dunia sejak tahun 1915, hanya 4 lautan utama yang diiktiraf di dunia iaitu Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Atlantik dan Lautan Artik.
Tidak dimasukkan dalam senarai lautan utama sebelum ini akibat perdebatan ciri-ciri lautnya
Perdebatan yang menghalang Lautan Selatan diiktiraf menjadi lautan utama dunia selama ini adalah disebabkan persoalan sama ada lautan ini mempunyai ciri-ciri unik yang membolehkan ianya mempunyai nama tersendiri, atau sama ada lautan ini merupakan sambungan bahagian selatan untuk tiga lautan iaitu Lautan Pasifik, Atlantik, dan Hindi yang cukup sejuk.
Kepentingan Lautan Selatan kepada iklim Bumi
Lautan Selatan adalah lautan yang mengelilingi benua Antartika. Tidak seperti lautan lain yang ditentukan dengan benua yang memagarinya, lautan ini dinamakan sempena pusaran arusnya. Lautan Selatan mempunyai sebuah ciri arus yang dinamakan sebagai Antarctic Circumpolar Current (ACC) yang terbentuk sekitar 34 juta tahun yang lampau. Aliran air di bahagian bawah Bumi tidak terganggu kerana wujudnya ACC.
Di dalam arus ACC, airnya lebih sejuk dan kurang masin berbanding air laut yang berada di sebelah utara. Ini membantu benua Antartika untuk kekal sejuk dan memastikan ekologi di Lautan Selatan untuk terus wujud. ACC juga berperanan untuk menarik lebih banyak air dari Lautan Pasifik, Atlantik dan Hindi untuk membantu sistem pengaliran global. Sistem ini dipanggil sebagai conveyor belt dan penting untuk pengaliran haba di Bumi.
Air yang lebih sejuk dan mampat akan tenggelam ke dasar lautan ini dan ianya membantu menyimpan karbon dalam laut dalam. Dua ciri inilah yang membuatkan Lautan Selatan mempunyai impak penting dalam mengekalkan keseimbangan iklim Bumi.
“Sesiapa yang pernah tiba ke Lautan Selatan ini, pasti akan sedaya upaya untuk menjelaskan keindahan yang ada di sini. Glasiernya lebih biru, udara lebih sejuk, gunung-ganangnya lebih memukau, landskapnya pula lebih menarik daripada mana-mana tempat yang anda pernah pergi,”
Seth Sykora-Bodie, saintis marin di National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) dan pengembara National Geographic.
Walaupun nama Lautan Selatan atau Lautan Antartika ini kedengaran seperti biasa didengar, tetapi hakikatnya selama ini, ia hanyalah sebuah lautan yang dipinggirkan dan tidak termasuk dalam lautan utama dunia sehinggalah 8 Jun yang lalu.
Fakta menarik tentang Lautan Selatan
1. Lautan ini merupakan lautan termuda di dunia yang hanya terbentuk sekitar 34 juta tahun yang lalu ketika benua Amerika Selatan dan Antartika terpisah.
2. Saiz Lautan Selatan merangkumi 6% permukaan bumi dan merupakan lautan keempat terbesar di dunia.
3. Kedalaman Lautan Selatan adalah di antara 4,000 meter, 4,800 meter (12,000 kaki), dan 14,000 kaki dengan beberapa parit dalam. Purata kedalamannya pula adalah sekitar 3,200 meter (10,700 kaki). South Sandwich Trench merupakan parit paling dalam di Lautan Selatan dengan kedalaman sehingga 7,000 meter!
4. Lautan Selatan ini dipenuhi dengan bongkah ais yang besar. Ini menyebabkan pelayaran sesebuah kapal perlu diawasi oleh sebuah lagi kapal pemecah bongkah ais bagi melayari lautan ini dengan selamat.
5. Suhu di Lautan Selatan adalah sekitar -2 darjah Celcius sehingga 10 darjah Celcius.
6. Manusia pertama yang sampai ke Lautan Selatan adalah Bartolomeu Dias (pelayar asal Portugal yang pertama mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan pada tahun 1487) dan Ferdinand Magellan (pelayar yang meneroka Tierra del Fuego di Amerika Selatan pada tahun 1520).
7. Lautan Selatan merupakan habitat utama haiwan musim sejuk seperti penguin maharaja, burung albatros, paus biru dan anjing laut.
Menarik, bukan? Selamat datang ke peta dunia, Lautan Selatan!