Dipenjara 2 bulan dan didenda RM100
Disebabkan mencuri produk kosmetik dari kedai kesihatan dan kecantikan di sebuah pusat membeli-belah, seorang wanita Indonesia berusia 58 tahun telah dipenjara selama dua bulan dan didenda RM100 atau jika gagal membayar akan dipenjarakan selama dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman selepas Maryati Katong Giman mengaku bersalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika disabitkan.

Zubaidah juga memerintahkan Maryati dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas menjalani hukuman.
Maryati melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di pusat membeli-belah di Jalan Simpang Tiga di sini pada jam 4.51 petang pada 1 Februari 2024.
Berdasarkan fakta kes, pengurus kedai telah menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 2 Februari dan mendapati seorang wanita bertingkah laku mencurigakan pada 1 Februari.
Koyak plastik pembungkus produk kosmetik dan bawa keluar tanpa bayar
Pemeriksaan lanjut mendapati dia telah mengoyak plastik pembungkus produk kosmetik dan membawanya keluar dari premis tanpa membuat sebarang pembayaran, mengakibatkan kerugian sebanyak RM73.50.
Pengurus kedai membuat laporan polis dan Maryati ditahan pada sekitar jam 5 petang pada 3 Februari. Siasatan mendapati terdapat juga saksi yang melihat Maryati mengoyak plastik pembungkus produk kosmetik yang mempunyai kod bar.
Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin mendakwa kes manakala Maryati tidak diwakili peguam.
