Tahniah kami ucapkan kepada Mirabel Ting!
Bintang Golf Sarawak, Mirabel Ting Raih Kejuaraan Briars Creek Collegiate Invitational Di US. Bintang golf dari Sarawak, Mirabel Ting Ern Hui sekali lagi mencipta kejayaan apabila memenangi gelaran individu Briars Creek Collegiate Invitational di South Carolina, Amerika Syarikat.
Pemain ranking No. 1 Kolej AS dan No. 3 Amatur Dunia itu menunjukkan prestasi cemerlang dengan catatan 67 dan 66, menamatkan saingan dengan 11 di bawah par pada Selasa, sekaligus meraih kemenangan keduanya tahun ini.

Mirabel turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatihnya
“Ia adalah minggu yang hebat untuk saya dan saya sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa. Saya buat beberapa perubahan bersama jurulatih dan cuba membiasakan diri dengannya serta berharap ia dapat memperbaiki permainan saya,” katanya kepada media tempatan.
“Selepas perubahan itu, saya nampak perbezaan ketara dalam permainan saya dan berasa sangat baik sepanjang kejohanan.”
Mirabel turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatihnya, Kris Assawapimonporn, serta kakaknya, Michelle Koh, kerana membantu mengawal gementarnya.
“Saya tak akan mampu lakukannya tanpa kakak dan jurulatih saya,” katanya.
Kemenangan ini menandakan kejayaan keenam Mirabel dalam kejohanan peringkat kolej dan menyumbang kepada kemenangan keempat berturut-turut pasukan Florida State University (FSU) Seminoles bagi musim 2024-2025.
Pada usia 19 tahun, Mirabel terus mengukuhkan reputasinya dalam arena golf kolej di FSU dengan pelbagai pencapaian, termasuk dinobatkan sebagai Pemain Golf Bulan Ini oleh Atlantic Coast Conference (ACC) 2024 dan menerima anugerah All-ACC.
Sebelum ini, dia meraih kemenangan pertamanya tahun ini dalam Collegiate Invitational yang berlangsung di Guadalajara Country Club, Mexico pada 2 Februari.
Mirabel dijadualkan beraksi dalam Augusta National Women’s Amateur buat kali kedua pada minggu pertama April.
Dia juga berharap untuk mendapat jemputan menyertai Arnold Palmer Cup ke-29 di Congaree Golf Club, Ridgeland, South Carolina pada bulan Jun serta Maybank Championship di Kuala Lumpur Golf and Country Club pada bulan Oktober.

