Cabaran beli-belah sambil meneroka destinasi menarik di sekitar Bandaraya Kuching
Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026 Gabung Pengalaman Beli-Belah, Cabaran dan Destinasi Pelancongan Kuching. Membeli-belah bukan lagi sekadar mengisi troli. Kini, ia menjadi sebahagian daripada pengalaman meneroka destinasi pelancongan.
Itulah yang cuba diketengahkan menerusi Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026, sebuah program anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Cats FM yang menggabungkan aktiviti membeli-belah, cabaran interaktif dan penerokaan lokasi menarik di sekitar Kuching.

Program yang berlangsung bersempena Kempen Jualan Nasional Malaysia Mega Sale 2026 itu menyaksikan penyertaan 15 kumpulan terdiri daripada penyampai radio, pendengar Cats FM, wakil media serta pempengaruh media sosial.
Sepanjang cabaran berlangsung, peserta perlu menyelesaikan pelbagai misi di beberapa lokasi ikonik di bandar raya ini, termasuk Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum, Plaza Merdeka, AEON Mall Kuching Central, India Street dan Pangkalan Sapi.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan pusat beli-belah kepada peserta, malah menggalakkan orang ramai mengenali tarikan pelancongan dan warisan bandar Kuching dalam satu pengalaman yang lebih menyeronokkan.

Kempen Miss SHOPhia membantu meningkatkan perbelanjaan domestik dan antarabangsa
Menurut Tourism Malaysia, penganjuran program ini selari dengan usaha memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi beli-belah bertaraf antarabangsa menerusi Kempen Jualan Nasional yang diadakan tiga kali setahun iaitu Malaysia Super Sale, Malaysia Mega Sale dan Malaysia Year End Sale.
Selain menawarkan pelbagai promosi kepada pengguna, kempen seperti ini turut membantu meningkatkan perbelanjaan pelawat domestik dan antarabangsa, sekali gus memberi manfaat kepada sektor peruncitan dan ekonomi tempatan.
Program ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan industri termasuk Air Borneo, Hilton Kuching, Pullman Kuching, Sheraton Kuching, Royal Kuching Cruise, Grab, Zus Coffee, Vanzo Perfume serta beberapa pemain industri pelancongan lain yang bersama-sama menjayakan pengalaman tersebut.

Inisiatif sebegini juga menyokong aspirasi Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan mengetengahkan pengalaman pelancongan gaya hidup yang menggabungkan aktiviti membeli-belah, gastronomi dan penerokaan destinasi dalam satu pakej.
Prestasi pelancongan domestik Malaysia turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan 290.1 juta ketibaan pelawat pada tahun 2025, meningkat 21.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dalam tempoh sama, jumlah perbelanjaan pelancongan domestik turut meningkat kepada RM121 bilion, berbanding RM106.7 bilion pada 2024.
Dengan penglibatan media dan pempengaruh digital, Tourism Malaysia berharap program seperti Miss SHOPhia Shopping Hunt dapat memperluaskan promosi destinasi di Sarawak, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai sebahagian daripada pengalaman melancong.

