Salam takziah
Misteri Kehilangan Adik Eric Terungkai, Polis Percaya Mayat Dibuang Ke Sungai Muara Tebas Kuching. Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun, Eric Chang Wei Jie terungkai apabila pihak polis mengesahkan bahawa kanak-kanak terbabit dipercayai telah dibunuh dan dibuang ke dermaga Sungai Muara Tebas dalam keadaan tidak bernyawa.
Pihak polis daerah Kuching kini masih giat melakukan aktiviti pengesanan mayat adik Eric yang disyaki dibuang di dermaga Sungai Muara Tebas, Kuching oleh pengasuh serta suaminya.
Pengesanan mayat di tapak kejadian diketuai oleh Pemangku KPD Kuching Baharu, Superitendan Merbin Lisa. Sepasukan bot polis marin juga turut dikerah ke tempat kejadian untuk mencari mayat adik Eric.
Pencarian dimulakan sejak jam 2 petang tadi.
MUARA TEBAS: Maklumat terbaharu yang diperoleh dalam pencarian kanak-kanak berumur 4 tahun Eric Chang Wei Jie yang…
Posted by Berita RTM Sarawak on Sunday, March 13, 2022
Kronologi kehilangan Eric, bapa kandung antara yang ditahan
Eric Chang Wei Jie, seorang kanak-kanak berusia 4 tahun telah dilaporkan hilang sejak 7 Mac yang lalu oleh ibunya, Dynasty Chang. Beliau membuat laporan polis pada jam 7.42 petang setelah pengasuhnya gagal membuktikan keberadaan Eric pada jam 9 pagi di Taman Riverview, Bintawa.
Pada malam yang sama juga, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Riverview yang dianggotai oleh 10 orang ahli dan diketuaioleh Kapitan Taman Riverview, Chung Chong Chong telah menggerakkan usaha mencari kanak-kanak malang terbabit di seluruh kawasan kejiranan sehingga ke kawasan perindustrian Bintawa. Namun usaha tersebut menemui jalan buntu.
Susulan itu, pada 10 Mac, pihak polis telah menahan reman 4 individu (2 lelaki dan 2 wanita) yang berusia antara 24 hingga 49 tahun. Antara yang ditahan adalah bapa Eric sendiri, pengasuh berserta suaminya.
Semakan mendapati bahawa keempat-empat individu tersebut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 17 jenayah membabitkan penyalahgunaa dadah, 2 jenayah harta benda, dan 1 jenayah komersial.
Sewaktu ditahan, keempat-empat individu tersebut juga disahkan positif dadah jenis syabu. Pihak polis kemudian menubuhkan unit tindakan khas untuk mengesan adik Eric. Menurut laporan akhbar tempatan, Jabatan Siasatan Jenayah Kuching memberitahu bahawa pengasuh terbabit mengakui perkara sebenar yang terjadi kepada Eric.
Keempat-empat individu ditahan atas Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabai, memberi layanan buruk atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
Semoga usaha pencarian mayat adik Eric dipermudahkan. Salam takziah buat ibu dan ahli keluarga.