Butiran lokasi sebenar akan dimaklumkan semula selepas ini.
Ahli Keluarga Sahkan Jenazah Nur Farah Kartini Dikebumikan Di Pahang. Jenazah bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dijangka dikebumikan di Pekan, Pahang hari ini.
Abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

“Jenazah akan dituntut hari ini selepas semua prosedur selesai,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Fariza tidak memperincikan bila proses pengebumian akan dilaksanakan dan di tanah perkuburan mana.
Sehingga jam 8.30 pagi tadi, tiada ahli keluarga atau rakan Nur Farah yang dilihat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh.
Nur Farah yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan berhampiran Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Mayat Nur Farah ditemui kira-kira jam 6 petang kelmarin dan dipercayai dibunuh oleh individu yang dikenali.
Susulan itu, seorang lelaki penjawat awam telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak mengesahkan suspek adalah seorang lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim dan telah berkhidmat selama lima tahun.
Suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

