Patung Kucing Putih Padungan pakai pakaian Iban, MBKS nafi ada unsur penghinaan
Pakaian Iban Pada Patung Kucing Padungan Tiada Kaitan Dengan Penghinaan. Patung kucing ikonik di Padungan baru-baru ini dihiasi dengan bahan rekaan Dayak ‘pua kumbu’ tetapi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) tidak menyatakan bahawa ia adalah ‘sirat’ (cawat) dan ‘ketapu’ (hiasan kepala) seperti yang didakwa, kata Dato Wee Hong Seng.
Datuk Bandar Kuching Selatan berkata MBKS ingin menegaskan bahawa mereka tidak pernah berniat untuk menghina atau menyalahgunakan tradisi Iban.

“Setiap tahun, Kucing Putih Padungan akan dihiasi dengan pakaian yang mewakili pelbagai budaya dan perayaan agama sebagai tanda untuk meraikan kepelbagaian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam hantaran Facebook menurut laporan.
Wee berkata MBKS menghargai maklum balas dan kebimbangan masyarakat tempatan, tetapi beliau menasihati orang ramai untuk menghubungi pihak MBKS secara peribadi untuk mencari penyelesaian yang cekap dan efektif terhadap sesuatu isu berbanding membuat kenyataan umum.
Beliau berkata pada musim perayaan, pihak majlis tidak mahu mewujudkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.
Tindakan wajar patut diambil oleh MBKS kerana hal ini boleh menjejaskan semangat perpaduan yang cuba dibina oleh rakyat Sarawak
“Majlis akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menanggalkan pakaian Patung Kucing Putih tersebut.
“Semasa kita bersama-sama meraikan Perayaan Gawai Dayak yang meriah, saya mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak, ‘Gaya Guru Gerai Nyamai’,” katanya.
“Kami berterima kasih kepada MBKS kerana mempromosikan Gawai Dayak dengan mendandani patung kucing Jalan Padungan dengan ‘sirat’ dan ‘ketapu’ Iban,” kata Penasihat Kanan Yayasan Tun Jugah merangkap penyelidik Dr Peter Mulok Kedit pada 30 Mei.
Pantang larang adat tradisi Iban
“Bagaimanapun, mendandani kucing dengan pakaian sedemikian adalah pantang larang mengikut kepercayaan dan adat tradisi Iban,” katanya.
Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Stampin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen Michael Kong berkata adalah penting bagi MBKS dan pihak berkuasa lain untuk mengiktiraf kepentingan sensitiviti budaya dan keperluan untuk berunding dengan komuniti yang berkaitan sebelum melaksanakan inisiatif sedemikian.
“Menghormati kepercayaan dan adat resam semua masyarakat adalah penting untuk mengelakkan salah faham dan penghinaan yang tidak disengajakan,” katanya.
