Pameran seni ini memaparkan babak dari 90-an dan akan berlangsung Sabtu ini
Pameran Seni, ‘Dialogue With Our Nature’ Dibuka Sabtu Ini. Pameran seni ‘Dialogue With Our Nature’ oleh Bong Cho Chew, salah seorang pelukis cat minyak Sarawak, akan dibuka Sabtu ini di Galeri Hoan, La Promenade Mall, dan akan menampilkan lebih 50 lukisan minyak.
Menurut sumber, ‘Dialogue With Our Nature’ ialah pertunjukan solo kedua tahun ini di Galeri Hoan dan pameran solo pertama Bong dalam beberapa dekad.
Dalam pada itu, galeri tersebut baru sahaja menyelesaikan pameran tujuh minggu lukisan Alena Murang yang dipanggil ‘Colours Of The Highlands’ pada Mac lalu.

Kini kembali dengan adegan dari 1990-an
Berikutan itu, Galeri Hoan kini kembali dengan pameran lukisan penuh cat minyak yang menggambarkan babak dari tahun 1990-an.
Antara lainnya ialah adegan nostalgia pasar, penjual dan pembeli, lukisan ikan yang sangat realistik, dan abstrak terbarunya yang dilukis sehingga tahun ini.
Kemasukan percuma
Pameran ini adalah percuma untuk masuk, dan semua karya seni lukisannya dijual pada harga antara RM3,000 hingga RM30,000.
Bagaimanapun, 70 peratus daripada pendapatan jualan akan didermakan kepada badan amal dan Bong memilih tujuh badan amal untuk didermakan.
“Saya bukan artis komersial. Saya memberitahu Hoan Gallery bahawa saya akan menderma 70 peratus.
“Saya membuat lukisan cat minyak untuk memuaskan hati sendiri dan juga khas buat masyarakat.
“Saya harap pencinta seni tempatan akan menghargai karya saya untuk manfaat masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini, menerusi sumber.
Seniman yang akan mencecah usia 70 tahun tidak lama lagi, telah memilih pertubuhan bukan kerajaan di Lundu, tempat dia dibesarkan, serta Sri Aman, Samarahan, dan pusat kaunseling di Kuching.

Sementara itu, pengarah Galeri Hoan, Hoan Kee Huang menyatakan bahawa pameran ‘Dialogue With Our Nature’ boleh dibahagikan kepada lapan siri.
Bong juga telah mengkategorikan lukisan-lukisannya. Antaranya ialah lukisan ikan tunggalnya sebagai ‘Loneliness,’ kumpulan lukisan ikan sebagai ‘Harmoni,’ lukisan air terjun yang tenang sebagai ‘Zen’, lukisan air jernih sebagai ‘Sungai’ dan banyak lagi.
“Dialogue With Our Nature adalah persembahan yang sangat emosional, menenangkan dan cantik. Bong menunjukkan kepada kita keindahan semula jadi dunia. Terdapat rasa cinta yang mendalam terhadap bumi kita.
“Pada masa sama, karya-karya beliau yang terdahulu iaitu ‘street-scapes’ dan kampung sangat nostalgia. Banyak tempat yang dilukisnya seperti pasar di bandar, kini sudah tiada,” ujarnya.
Untuk makluman, Bong menamatkan pengajiannya di Akademi Seni Halus Nanyang Singapura pada tahun 1975.
Pertunjukkan seni pertama SAS pada tahun 1985
Sebagai ahli pengasas Sarawak Artists Society (SAS), beliau menganjurkan pertunjukan seni pertama pertubuhan itu pada 1985 di Muzium Sarawak.
Bahkan, rakan lama Bong, Datuk Sebastian Ting iaitu Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, dijangka menghadiri majlis perasmian ‘Dialogue With Our Nature’ Sabtu ini pada jam 12.30 tengah hari.

Bukan itu sahaja, majlis perasmian tersebut akan merangkumi minuman dan makanan, termasuk pilihan vegetarian.
Bagi makluman lanjut, boleh layari di hoangallery.com dan lapromenademall.com. Manakala di media sosial, lihat @HoanArtGallery dan @LaPromenadeMall.
