Patung Ikonik Padungan berbaju Melayu sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri
Patung Ikonik Kucing Padungan Segak Berbaju Melayu Hijau, Lambang Perpaduan Raya Sarawak. Patung ikonik Kucing Putih di Padungan kembali mencuri tumpuan apabila ia disinari dengan cahaya sambil mengenakan Baju Melayu hijau, menandakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut seluruh umat Islam tidak lama lagi.
Dilaporkan, Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Premier dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menekankan bahawa patung ini bukan sekadar simbol bandar Kuching, tetapi juga lambang perpaduan dan keharmonian Sarawak.

Tradisi menukar pakaian patung kucing
Menurut Dr Sim, tradisi menukar pakaian patung kucing ini bagi setiap perayaan utama melambangkan semangat saling menghormati dan keterangkuman yang menjadi tunjang kepada masyarakat Sarawak.
“Kucing ini bukan sahaja ikon Kuching, tetapi juga simbol perpaduan. Ia mengiktiraf semua kaum dan agama, menunjukkan bagaimana rakyat Sarawak hidup dalam harmoni. Saling menghormati adalah nilai yang benar-benar mencerminkan gelaran Kuching sebagai Bandar Perpaduan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah, sebaliknya perlu dipupuk dan dijaga secara berterusan.
“Kadang-kala orang lupa bahawa perpaduan perlu dipelihara. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan, tetapi sangat mudah untuk hilang. Sarawak sering dilihat sebagai contoh kemajuan dan harapan, tetapi dengan itu datang tanggungjawab untuk memastikan perpaduan kita terus kukuh. Setiap individu memainkan peranan penting dalam menjaganya,” tambahnya.

Dr Sim juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat pulang ke kampung kepada mereka yang akan meraikan Hari Raya, serta mengingatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati.
“Dengan Lebuhraya Pan Borneo dan jalan yang lebih luas, ramai akan pulang ke kampung. Dulu, jalan kita kecil dan kita memandu perlahan. Sekarang, dengan jalan yang lebih besar, ramai yang memandu laju. Kami mahu anda sampai dengan selamat untuk terus meraikan lebih banyak perayaan dan menikmati kemakmuran, keterangkuman, serta kelestarian Sarawak,” katanya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, turut menekankan bahawa musim perayaan adalah waktu terbaik untukn mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan.
“Ketika Hari Raya, kita mengucapkan Maaf Zahir dan Batin, dan ia bukan sekadar kata-kata, tetapi satu amalan untuk saling memaafkan atas apa jua kesalahan, sama ada secara lisan atau perbuatan, sengaja atau tidak. Perayaan adalah masa untuk merapatkan kembali hubungan dan memperkukuh perpaduan,” ujarnya.

Penggunaan hiasan yang diperbuat daripada bahan kitar semula
Beliau juga memuji penggunaan hiasan yang diperbuat daripada bahan kitar semula dalam sambutan kali ini, sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato Zaiedi Suhaili, turut menyatakan bahawa ini menjadi bukti komitmen Kuching sebagai Bandar Perpaduan dan menggalakkan semua rakyat Sarawak, tanpa mengira latar belakang, untuk meraikan apa-apa perayaan bersama.
“Di Sarawak, setiap perayaan adalah perayaan kita. Kita hidup bersama, dan kita raikan bersama,” katanya.
Apabila lampu berwarna-warni menyinari Patung Kucing Putih yang segak dalam busana Raya, suasana di Padungan menjadi simbol yang kuat tentang semangat perpaduan dan keharmonian budaya yang terus subur di Sarawak.

