Ini rekod pertama spesis paus ini ditemui di Perairan Sarawak
Paus Ditemui Di Sri Aman Ini Rupanya Spesis Terancam, Antara Terbesar Di Dunia. Seekor ikan paus mati yang ditemui di Batang Lupar di bahagian Sri Aman tiga minggu lalu telah dikenal pasti sebagai paus Sei (Balaenoptera borealis), kata Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).
Pengurus Besarnya, Abang Arabi Abang Aimran berkata penemuan ini menandakan rekod pertama yang disahkan bagi spesies paus Sei di perairan Sarawak.

Ujian DNA telah dilakukan dan kajian disahkan – SFC
Bangkai ikan paus yang ditemui di Batang Lupar, Sri Aman telah disahkan sebagai ikan paus sei, spesies terancam yang ditemui di barat daya lautan Pasifik dan Hindi.
Bangkai paus tersebut pertama kali dilaporkan oleh penduduk tempatan di media sosial berhampiran Pulau Seduku pada 19 November.
Empat hari kemudian, pasukan dari SFC menemui bangkai yang sudah reput teruk terdampar di sebuah palang berhampiran tapak pembinaan Jambatan Triso.
Spesies paus besar lain yang pernah direkodkan di Sarawak, berdasarkan kajian terdahulu dan penemuan terkini, termasuk paus Bryde (Balaenoptera edeni), paus Sperma (Physeter macrocephalus), paus Sirip (Balaenoptera physalus), paus Minke (Balaenoptera acutorostrata), dan paus Bungkuk (Megaptera novaeangliae).
Paus Sei dikenali sebagai paus ketiga terbesar di dunia selepas paus Biru dan paus Sirip, menurut laporan kajian marin antarabangsa.
Penemuan paus Sei ini menjadikan jumlah spesies mamalia marin yang direkodkan di perairan pantai dan luar pesisir Sarawak meningkat kepada 25.
“Kepelbagaian tinggi spesies mamalia marin ini mencerminkan kesihatan dan keadaan persekitaran marin Sarawak yang masih terpelihara,” kata Abang Arabi.
Beliau mengingatkan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti memburu, berdagang, atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya agar melaporkannya kepada SFC.
