Tahniah!
Pecah Rekod Baru Kejohanan, Ini 7 Atlet Para Borneo Raih Pingat Di Birmingham Dan Solo. Pencapaian atlet para dari Sabah dan Sarawak pada Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Para ASEAN Solo 2022 tampak begitu cemerlang kali ini.
Atlet dari Sabah dan Sarawak berjaya membawa pulang 12 pingat secara keseluruhannya, dengan 10 pingat emas dan 2 pingat perak. Malah, kebanyakan atlet yang meraih pingat ini turut berjaya memecahkan rekod kejohanan!

Siapakah mereka? Di sini kami senaraikan 7 atlet para Sabah dan Sarawak yang tampil cemerlang di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Para ASEAN Solo 2022.
1. Fraidden Dawan (2 Emas Sukan Para ASEAN Solo 2022)
Pencapaian:
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 200m Rampaian Individu Lelaki SM10)
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 400m gaya bebas lelaki S10)
Fraidden Dawan yang berasal dari Bintulu, Sarawak menjadi perenang pertama menghadiahkan emas di Pusat Renang Jatidiri, Semarang itu dalam acara 400 meter (m) gaya bebas S10 dengan catatan terbaik 4 minit 58.540 saat (s) meninggalkan pencabar terdekat dari Vietnam, Quang Gon Truong, 16.030s.

Pada hari terakhir kejohanan pula, Fraidden sekali lagi tampil cemerlang apabila menghadiahkan negara dengan satu lagi pingat emas dalam acara 200m Rampaian Individu Lelaki SM10.
Sebelum ini, Fraidden Dawan pernah menggegarkan Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil dengan rekod baru 200 meter rampaian individu SM10 dengan catatan 2 minit 30.67 saat pada tahun 2017.
2. Bonnie Bunyau Gustin (1 Emas Sukan Komanwel Birmingham 2022)
Pencapaian:
- Pingat emas Sukan Komanwal Birmingham 2022 (Angkat berat para)
- Memecahkan rekod baharu Sukan Komanwel di Birmingham sebanyak dua kali
Apabila Bonnie menyuarakan tekadnya untuk melakukan keajaiban di Birmingham tahun ini, pastinya ia bukan sebuah omong kosong. Atlet yang berasal dari Kampung Baru Mawang, Serian, Sarawak ini sekali lagi menggegarkan gelanggang angkat berat para apabila berjaya meraih pingat emas untuk kategori lighweight angkat berat para di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Bukan itu sahaja, kedudukan Bonnie sebagai juara dunia dua kali, pemegang rekod dunia dan juara Paralimpik Tokyo 2020 ternyata tidak dapat digugat apabila beliau sudah membuat kejutan memecahkan rekod angkatan Sukan Komanwel pada angkatan pertama dengan angkatan seberat 210kg. Rekod baharu itu tidak bertahan lama apabila Bonnie sekali lagi memecahkannya pada angkatan kedua dengan angkatan seberat 216 kg.
Pingat yang diraih oleh oleh Bonnie ini merupakan pingat emas keempat Malaysia di temasya tersebut.
3. Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (1 Emas, 1 Perak Sukan Para ASEAN Solo 2022)
Pencapaian:
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 100 meter gaya bebas lelaki S5)
- Pingat perak Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 50m gaya bebas lelaki S5)
- Catat rekod baharu Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 100 meter gaya bebas lelaki S5)
Atlet renang para yang kian menyinar, Muhammad Nur Syaiful yang berasal dari Samarahan, Sarawak ini tampil cemerlang di temasya Sukan Para ASEAN di Solo, Indonesia apabila berjaya menyumbang dua pingat, iaitu pingat emas dan pingat perak kepada kem negara.

Bukan itu sahaja, Nur Syaiful juga berjaya mencatat rekod baharu kejohanan dalam acara 100 meter gaya bebas S5 dengan catatan masa 33.35 saat, memadam rekod kejohanan 34.50 saat yang dilakukan oleh atlet dari Vietnam, Vo Thanh Tung pada tahun 2015.
4. Ethan Yin Jun Khoo (3 Emas Sukan Para ASEAN Solo 2022)
Pencapaian:
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 100 meter gaya bebas)
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 200 meter rampaian individu)
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 200m gaya bebas lelaki S14)
- Catat 2 rekod baru kejohanan (acara 100 meter gaya bebas & 200m gaya bebas lelaki S14)
Atlet Sabah paling cemerlang dalam temasya Sukan Para ASEAN 2022 kali ini jatuh kepada Ethan Yin Jun Khoo. Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini berjaya menjadi perenang paling pantas dengan meraih sebanyak 3 pingat emas dalam 3 acara berbeza.
Lebih membanggakan, anak kepada pasangan Datuk Khoo Thau Yong dan Datin Christina Math ini membuat penampilan sulung dalam Sukan Para ASEAN di Solo kali ini. Temasya ini merupakan temasya pertama yang disertainya di luar negara.

Ethan juga berjaya memecahkan rekod kejohanan dalam acara 100 meter gaya bebas dengan catatan 56.69 saat manakala rekod kedua kejohanan kedua yang dicatatkannya di Solo adalah dalam acara 200m gaya bebas lelaki S14 dengan catatan masa 2 minit 05.250 saat.
Ia merupakan rekod kedua Ethan yang menamatkan saingan di hadapan perenang Thailand, Wachirawit In-Choo (2:07.590s) dan perenang tuan rumah, Kevin Ode Natama (2:14.560s), selepas memperbaiki rekod 100m gaya bebas S14 APG.

5. Eddy Bernard (1 Emas, 1 Perak Sukan Para ASEAN Solo 2022)
Pencapaian:
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Olahraga lompat jauh F44/64)
- Pingat perak Sukan Para ASEAN 2022 (Olahraga pecut 100meter)
- Catat rekod baru kejohanan (acara lompat jauh F44/64)
Eddy Bernard, atlet yang berasal dari Beluran, Sabah ini juga menampilkan aksi cemerlang dengan membantu skuad negara meraih 2 pingat menerusi acara lompat jauh F44/64 dan pecut 100 meter. Beliau telah meraih pingat emas dalam acara lompat jauh sekaligus memperbaiki rekod kejohanan dengan catatan baru sejauh 6.48meter.

Pingat kedua pula diraih menerusi acara olahraga pecut 100 meter di mana beliau menduduki tangga perak dengan catatan masa 12.02 saat.
Posted by Majlis Sukan Negeri Sabah on Wednesday, August 3, 2022
Eddy merupakan pemenang pingat emas acara 100 meter pecut lelaki dan acara lompat jauh T37 di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur pada tahun 2017.
6. Brenda Anellia Larry (1 Emas Sukan Para ASEAN Solo 2022)
Pencapaian:
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 100m Kuak Dada Wanita SB4)
Atlet muda yang baru berusia 17 tahun ini juga tampaknya memiliki masa depan yang cerah sebagai atlet elit para negara apabila berjaya membawa pulang pingat emas untuk acara 100m Kuak Dada Wanita SB4 di Semarang pada kali ini.

Brenda juga diberi amanah untuk mewakili Malaysia di Sukan Paralimpil Tokyo 2020 dalam acara 50 meter (m) kuak lentang kategori S4 wanita tahun lalu. Beliau yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan mula menceburi sukan renang para pada tahun 2017 di Kota Kinabalu, Sabah.
7. Abdul Halim Mohammad (1 Emas Sukan Para ASEAN Solo 2022)
Pencapaian:
- Pingat emas Sukan Para ASEAN 2022 (Renang 100m Kuak Dada Lelaki SB8)
- Catat rekod baru kejohanan (acara 100m Kuak Dada Lelaki SB8)
Seorang lagi atlet dari Sabah, Abdul Halim Mohammad juga mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya merangkul pingat emas dari kolam renang sekaligus mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan masa 1:18.62 saa, meninggalkan juara bertahan dari Indonesia, Guntur Guntur.

Pada Julai 2022, Abdul Halim juga berjaya membantu Sabah muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Siri 2 Kebangsaan Para Renang MAS/NSC/MILO 2022 yang berlangsung di Pusat Akuatik Negara di Bukit Jalil dengan menyapu 6 pingat emas dan 1 rekod baharu.
Tahniah kami ucapkan buat atlet yang mewakili negara di Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Para ASEAN Solo 2022. Anda wira negara!