Tular Bawa Penumpang di Bumbung Kereta, Wanita Dari Kota Samarahan Disiasat Polis
Padah Bawa Empat Penumpang Duduk Atas Bumbung Kereta Di Matang, Pemandu Disaman. Seorang wanita dari Kota Samarahan dikenakan saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas tindakannya membawa empat penumpang di atas bumbung keretanya tular di media sosial.
Kejadian berlaku pada 4 Oktober lalu di Jalan Matang/Batu Kawa sekitar jam 5.35 petang, melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda CRV.

Saman Dikeluarkan Atas Tindakan Bahaya
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, mengesahkan bahawa video yang tersebar jelas menunjukkan empat penumpang duduk di atas bumbung kenderaan tersebut, sambil kereta itu bergerak. Tindakan itu menimbulkan kebimbangan ramai mengenai keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Menurut beliau, video tersebut turut menerima banyak komen negatif dari warganet yang mengkritik tindakan pemandu kerana membahayakan penumpang dan orang lain di jalan raya.
Hasil siasatan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), pemandu serta penumpang terlibat berjaya dikenal pasti. Pemandu terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 9.30 malam keesokan harinya bagi membantu siasatan.
Pemandu tersebut dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal menjaga keselamatan penumpang. Akibat daripada kesalahan tersebut, saman PDRM(K) 257 telah dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan.

