Orang ramai dapat membuat pembayaran caj parkir dengan lebih mudah dan cepat.
Lupakan Kupon Gores, Pemandu Sabah Hanya Perlu Guna Aplikasi Untuk Bayar Parkir. Mulai 16 Oktober, para pemandu di Kota Kinabalu akan beralih kepada penggunaan aplikasi Sabah Smart Parking, menggantikan sistem kupon parkir yang lama. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store (untuk pengguna Android) dan App Store (untuk pengguna iOS).
Menurut kenyataan dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), para pengguna boleh mula memuat turun aplikasi ini sejak ia dilancarkan secara pra pada 9 Ogos yang lalu. Melalui aplikasi ini, orang ramai dapat membuat pembayaran caj parkir dengan lebih mudah dan cepat.

Kupon gores yang sedia ada masih boleh digunakan oleh para pemandu
Selain itu, aplikasi Sabah Smart Parking ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain, seperti semakan tunggakan kompaun dan pembelian pas parkir bulanan. Arahan penggunaan juga disediakan dalam aplikasi untuk memudahkan pengguna memahami cara penggunaan aplikasi ini.
Walaupun begitu, DBKK memaklumkan bahawa kupon gores yang sedia ada masih boleh digunakan oleh para pemandu yang belum beralih kepada aplikasi ini. DBKK turut mengingatkan penduduk bandar untuk terus mematuhi undang-undang kecil yang ditetapkan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Parkir DBKK Holdings Sdn Bhd di talian 088-270181, 088-270182, atau 012-7690181. Maklumat tambahan juga boleh didapati di kaunter atau kios parkir yang disediakan.

