Rakyat dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan keadaan di tempat lain
Sabah Sifatkan Pembatalan Garis Panduan Kehadiran Umat Islam ke Acara Bukan Islam Satu Keputusan Tepat. Keputusan Kabinet Persekutuan untuk membatalkan cadangan garis panduan kehadiran umat Islam ke acara bukan Islam adalah satu langkah bijak kerana ia tidak relevan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Saya ingin tegaskan bahawa garis panduan tersebut tidak relevan bagi kita di sini. Di Sabah, kita saling menghormati satu sama lain.

Hadiri acara masyarakat bukan Islam tidak jejas akidah – Hajiji
“Ambil saya sebagai contoh, mustahil bagi saya untuk tidak menghadiri perayaan masyarakat yang berbilang agama dan kaum di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Festival Angpow yang dianjurkan oleh 10 persatuan dan NGO Cina di Dewan Sri Sulaman pada malam Sabtu.
“Ketika ipar saya meninggal dunia, saya memberikan penghormatan terakhir di gereja St Philips, Tamparuli. Itu tidak menjejaskan akidah saya atau menjadikan saya kurang Islam. Semua ini berbalik kepada soal kepercayaan kita,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan keadaan di tempat lain.
“Di Sabah, kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Ramai antara kita mempunyai ahli keluarga yang berbeza agama,” ujarnya.
Penghargaan kepada komuniti Cina di Sabah sebagai rakan pembangunan ekonomi negeri
Ketua Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada komuniti Cina kerana terus menjadi rakan dalam membangunkan ekonomi negeri.
“Bukan itu sahaja, komuniti Cina juga banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan kami menghargai mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita,” katanya.
Hajiji berkata sepanjang pentadbirannya sebagai Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah besar dana bagi pembangunan sekolah Cina sebagai sebahagian usaha meningkatkan taraf pendidikan di Sabah.

Sabah memperuntukkan RM 128 juta untuk biasiswa 12,000 pelajar
Beliau mendedahkan bahawa tahun lalu sahaja, Kerajaan Negeri telah membelanjakan hampir RM480 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan.
“Ini belum pernah berlaku sebelum ini. Dahulu, jumlah biasiswa yang diperuntukkan setiap tahun hanya RM50 juta. Tetapi semasa pentadbiran saya, jumlah itu telah dinaikkan kepada RM128 juta setiap tahun.
“Kita memberikan biasiswa kepada semua yang layak. Tahun lalu, sebanyak RM128 juta diberikan kepada 12,000 pelajar,” katanya.
Hajiji menjelaskan bahawa daripada jumlah itu, 5,000 adalah pelajar Bumiputera Muslim, 5,000 lagi Bumiputera bukan Muslim, dan 2,000 adalah pelajar Cina.
Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri pada masa ini telah mencapai banyak kejayaan, termasuk menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, yang membuka lebih banyak peluang untuk Sabah dalam industri minyak dan gas.
Di samping itu, dasar mesra pelabur negeri juga berjaya menarik banyak pelaburan ke Sabah.
Beliau berharap komuniti Cina akan terus menyokong Kerajaan Negeri sedia ada bagi memastikan semua rancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

