Sarawak semakin menarik perhatian pelancong perubatan kerana kos yang lebih murah
Sarawak Berpotensi Jadi Hab Pelancongan Perubatan Serantau dengan Pembinaan Hospital Baharu. Sarawak berpotensi untuk menjadi hab penjagaan kesihatan serantau dengan peningkatan pelancongan perubatan serta pembinaan hospital swasta baharu, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam ucapannya semasa majlis penutupan Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) hari ini, beliau menyatakan bahawa Sarawak semakin menarik perhatian pelancong perubatan, khususnya dari Indonesia.

Sarawak tambah fasiliti kesihatan swasta di Batu Lintang, Tabuan Jaya dan Petra Jaya
“Pada tahun 2024, kita mencatatkan 4.8 juta ketibaan pelancong yang menjana pendapatan sebanyak RM12 bilion dalam sektor pelancongan. Ramai daripada mereka datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Sasaran kita adalah untuk mencapai lima juta pelawat pada 2025, dan dengan operasi AirBorneo, kita dapat memudahkan perjalanan, terutamanya dari Jakarta,” katanya.
Bagi menyokong perkembangan ini, Abang Johari mengumumkan beberapa hospital swasta baharu sedang dalam perancangan, termasuk sebuah fasiliti dengan 300 katil di Batu Lintang serta hospital tambahan di Tabuan Jaya dan Petra Jaya.

“Kewujudan lebih banyak hospital baharu menunjukkan potensi Sarawak sebagai hab penjagaan kesihatan. Ia bukan kerana rakyat Sarawak semakin kerap jatuh sakit, tetapi kerana ramai pesakit dari luar datang ke sini untuk mendapatkan rawatan kerana kosnya jauh lebih rendah berbanding Singapura,” jelasnya.
Pelancongan perubatan bawa bonus kepada cabang pelancongan lain di Sarawak
Beliau turut menekankan bahawa pelancongan perubatan akan memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan kerana pesakit yang datang biasanya diiringi oleh ahli keluarga, sekali gus merancakkan sektor hospitaliti, makanan, dan peruncitan.
“Apabila pesakit datang, mereka tidak datang bersendirian. Keluarga mereka akan menemani, yang meningkatkan perbelanjaan di hotel, makanan, dan produk tempatan. Ini membuka peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.

Premier turut mengaitkan pertumbuhan ini dengan sektor pengeluaran makanan negeri, sambil menyebut permintaan tinggi untuk ikan tilapia Sarawak, terutamanya di Singapura.
“Tilapia Sarawak dari Batang Ai sangat diminati kerana rasanya lebih enak dan tidak mempunyai bau hanyir seperti yang diternak di kolam lain. Jika permintaan terus meningkat, kita boleh meningkatkan eksport menggunakan AirBorneo,” katanya.

