Orang dalam industri kreatif sahaja akan faham perasaan ini
Penari Ini Dedahkan Sikap Segelintir Ahli Perniagaan Yang Asyik Mempertikaikan Hal Bayaran. Another day, another kes buli. Bagi mereka dalam industri kreatif, sudah tentu mereka telah mengalami pengalaman pahit manis ketika topik ‘bayaran’ masuk campur.
Kadangkala dibayar kurang dari apa yang dijanjikan, malah ada juga langsung tak dibayar oleh pelanggan.
Bagi bekas penari ini, penindasan seniman yang berterusan selama bertahun-tahun mendorongnya untuk mendedahkan bagaimana segelintir ahli perniagaan sentiasa mempermainkan dan mempertikaikan hal bayaran.
Insiden berlaku beberapa tahun lepas, tetapi kenangan itu sangat pahit diingati
Nigg Connie Eli kongsikan pengalaman beliau sebagai penari profesional menerusi Facebook beliau.
Sebagai bekas penari profesional, beliau telah melalui pengalaman menari untuk majlis yang berpelbagaian, tak kira majlis keagamaan atau majlis perasmian.
Namun, beliau hanya ada satu persoalan sahaja menerusi ciapannya,
“Kenapa anda mengupah penari atau pemain muzik? Kenapa perlu ada persembahan (tarian) untuk majlis anda? Tetapi bahagian pembayaran anda main-mainkan?“
Nigg kemudian menjelaskan lagi perkara terbabit.
“Sebagai bekas penari di satu ketika dahulu ingin menegakkan keadilan terhadap apa yang seringkali berlaku pada penari profesional mahu pun yang bukan profesional iaitu berkenaan dengan pembayaran.“
Jadi penari bukannya semudah anda sangka
Beliau mengulas lagi untuk menjadi seorang penari, mereka harus melalui beberapa perkara yang sukar demi memperbaiki kemahiran tarian mereka.
Nigg, penari yang pernah menceburi tarian tradisional bahkan modern, menyatakan untuk menyempurnakan tarian adalah sangat susah.
“Ia bukan senang untuk belajar semua jenis genre. Nak lenggok sama dengan tempo muzik, nak atur posisi badan ketika menari, saya nak cerita kesemuanya memang takkan habis, tetapi masih ada juga golongan ahli perniagaan yang mempermainkan dan mempertikaikan hal bayaran penari,” katanya.
Beliau turut menekankan betapa banyak masa dan tenaga diluangkan untuk melatih.
Dijanjikan bayaran lumayan, tetapi asyik dikecewakan oleh segelintir ahli perniagaan
Menurutnya, beliau telah berkali-kali dijanjikan bayaran lumayan dari pelanggan beliau.
“Duit yang dijanjikan (oleh pelanggan) memang berlumayan, sangat tinggi nilainya, untuk mengupah para penari bagi membuat persembahan di majlis mereka,” ulasnya.
Walaupun luangkan masa dan tenaga yang banyak untuk praktis, mereka tidak akan dipandang lagi setelah selesainya persembahan rasmi di majlis.
“Hanya penari sahaja faham ini. Apabila habis persembahan, tiada pun ayat ‘terima kasih’ diucapkan kepada kami. Habis majlis, mereka akan terus pulang. “Tunggu 2-3 hari untuk pembayaran,” adalah ayat yang paling biasa didengar oleh kami,” katanya lagi.
2-3 hari berlalu tetapi pembayaran masih tidak diberi, kadangkala pembayaran tersebut hanya akan masuk setahun atau dua tahun kemudian, itu pun kalau bernasib baik!
Berikut adalah bayaran standard untuk penari menurut beliau ketika dihubungi.
- Penari tradisional tidak boleh dibayar bawah RM50 wang tunai.
- Bagi sesetengah pelanggan yang berjanji untuk membuat pembayaran sehari selepas persembahan, seorang penari akan diupah RM100 sekali dengan kostum tradisional.
Beliau berkata lagi, kebanyakan kes tipu yang berlaku adalah apabila pelanggan menjanjikan bayaran selepas persembahan. Namun, bajet pelanggan tiba-tiba tak cukup untuk bayar penari kerana sudah membayar orang lain dahulu seperti penyanyi dan sebagainya.
Penari vs Pemuzik
Beliau yang juga seorang pemain alat muzik sape’, berkata nasib penari dan pemain muzik lebih kurang sama cuma pemain muzik mengaut keuntungan yang lebih sedikit berbanding dengan penari.
Namun, kemahiran penari tiada kurangnya jika dibandingkan dengan pemain muzik.
“Penari bukan hanya tertakluk kepada tarian. Kadangkala mereka juga mengendali alat peraga (prop), kostum, solekan, malah mengendali audio dan lighting teknikal. Walaupun jarang, tetapi saya sendiri pernah kena perkara-perkara ini,” jelasnya lagi.
Despite all this, masih juga golongan ahli perniagaan yang ‘memperlekehkan’ tugas sebagai artis visual sehingga ‘mempermainkan’ bayaran mereka.
“Jika ada persembahan, kami akan dijanjikan macam-macam sehingga bayaran tersebut tak masuk akal juga. Tetapi hakikatnya, bayaran tak setimpal dijanjikan. Malah setelah selesai 2-3 persembahan, bayaran akan diberi lambat. Sudah lah lambat, dipotong lagi,” katanya.
Realitinya, ia sangat sukar untuk anak seni tempatan maju
Nigg mengakhiri ciapannya dengan berkata perkara terbabit adalah salah satu sebab industri kreatif tempatan sukar untuk maju. Hal ini kerana mereka yang sentiasa ditindas akan akhirnya rasa kecil hati dan tidak bermotivasi untuk lanjutkan bidang ini.
Pada masa yang sama, ia akan kurangkan semangat bakal seniman lain yang berminat tetapi tak jadi menceburi bidang terbabit apabila melihat ‘senior-senior‘ mereka berputus untuk tinggalkan industri ini.
Jika tiada minat, tiada muka baru akan muncul dalam industri ini.
Ketika dihubungi, beliau berkata kesilapan penari bebas (freelancer) adalah mereka tidak mempunyai syarikat atau persatuan untuk mengeluarkan surat rasmi sebagai bukti pembayaran mesti ditunaikan.
Hal ini kerana, persembahan selalunya dibuat pada saat terakhir jadi sebagai seorang pengiat seni yang berdiri atas kaki sendiri, semestinya mereka tak nak lepaskan rezeki oleh itu terpaksa lakukan persembahan tersebut namun ditipu pada akhirnya bila bab pembayaran masuk cerita.
“Untuk menjadikan ini sebagai pendapatan sampingan, boleh. Tetapi ia sangat penting untuk ada persatuan bagi bantu membela anak seni yang sering ditindas oleh ahli perniagaan,” ujarnya lagi.
Beliau menasihati mereka yang baru berjinak dalam industri ini,
“Berhati-hatilah bila membuat rundingan/perjanjian dengan pihak yang suka mengambil kesempatan agar seni yang kita mainkan tidak jatuh nilainya.”
Sudah-sudah lah tu menindas anak seni tempatan.
Jika anda mengiktirafkan kemahiran mereka sehingga anda berminat untuk mengupah mereka membuat persembahan, tolonglah adil kepada mereka. Mereka bukan sahaja melaburkan masa dan tenaga mereka, bahkan duit sendiri (untuk sewa studio, naik turun ke studio, dan sebagainya) untuk menyempurnakan permintaan anda.
Oleh itu, mereka layak dibayar setimpal dengan usaha mereka dan bukan nilai jauh rendah dari nilai kemahiran mereka. Tanpa perkhidmatan mereka, tiadanya hiburan di majlis anda.
Jangan tunggu mereka semua tawar hati untuk melanjutkan bidang ini baru sedar kepentingan mereka, ok?