Tertuduh juga dipercayai mempunyai dua orang adik beradik OKU dan turut menanggung ibu yang mempunyai masalah kesihatan.
Penganggur Merompak Terdesak Nak Beli Susu Dan Lampin Di Kuching, Dijatuhkan Hukuman Penjara 6 Tahun. Seperti yang kita ketahui, ramai yang mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian kerana pandemik Covid-19 yang semakin memburuk dan memang tak dapat dinafikan ramai rakyat yang terjejas kerana perkara ini. Namun, terdapat cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Terdesak ingin membeli susu dan lampin sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha
Dipetik daripada Utusan Borneo, oleh kerana terdesak ingin membeli susu dan lampin sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, tertuduh Hazrol Hanizam yang berusia 23 tahun mengaku bersalah melakukan rompakan tersebut seterusnya telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuching, pada Isnin lalu.
Hakim Afidah Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan, perkara ini bukannya alasan bagi tertuduh untuk melakukan perbuatan tersebut kerana terdapat pelbagai cara yang lain boleh dilaksanakan untuk mencari wang dan merompak bukanlah salah satu daripadanya.
“Sehubungan itu, setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Julai 2021 dan tertuduh juga dikenakan tiga sebatan,” ujar Hakim Afidah semasa prosiding.
Tertuduh tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Sibu itu didakwa merompak Halimah Temu, yang berusia 54 tahun, dalam satu kejadian pada 16 Julai lalu, pada jam lebih kurang 1.40 tengah hari di Jalan Tupong, Kuching.
Dilaporkan bahawa, tertuduh telah mengambil beg tangan mangsa yang berisi kad pengenalan, kad ATM, kad vaksinasi, wang tunai berjumlah RM12,600 dan sebuah telefon pintar. Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Daripada hasil siasatan mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian yang merakam perbuatan tertuduh. Mangsa juga mengenali tertuduh, selain berjaya mengecam pakaian, motosikal serta topi keledar yang digunakan tertuduh pada hari kejadian.
Tertuduh telah merayu agar dikenakan hukuman paling minimum
Oleh itu, antara barangan yang telah dirampas dan dijadikan bahan bukti kes adalah pakaian, topi keledar, motosikal, sebuah beg dan wang tunai berjumlah RM554. Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh telah merayu agar dikenakan hukuman paling minimum kerana dia terpaksa melakukan perbuatan tersebut disebabkan terlalu terdesak hendak membeli lampin serta susu.
“Saya juga mempunyai dua orang adik beradik orang kurang upaya (OKU) dan turut menanggung ibu saya yang mempunyai masalah kesihatan.
“Saya berasa sangat menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut,” ujar tertuduh yang menangis ketika mengemukakan rayuan.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh pula tidak diwakili oleh mana-mana peguam.