Majlis-majlis sosial menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kes COVID-19 di Sabah.
Peningkatan Kes COVID-19 Di Sabah Berpunca Dari Majlis Sosial. Dilaporkan menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun, kehadiran di majlis-majlis sosial menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kes COVID-19 di Sabah.
Beliau berkata sebanyak 69 kes positif COVID-19 yang baharu dicatatkan di negeri itu semalam berbanding 41 kes kelmarin, dengan dua lagi kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Kampung Baru Pasir Putih di Tawau dan Kluster Kampung Rimbayan di Keningau.

Menghadiri majlis kenduri kahwin
Masidi yang juga merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata kes indeks Kluster Kampung Baru Pasir Putih merupakan seorang lelaki yang pernah pulang ke Tawau bagi menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan yang dihadiri 244 jemputan.
“Setakat ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah lapan kes dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Masidi turut menyatakan bahawa Kluster Kampung Rimbayan yang melibatkan majlis pengebumian mencatatkan jumlah kumulatif 15 kes, dengan kes indeks dikesan positif melalui saringan rentas negeri ke Labuan pada 17 Mac lalu.

Jumlah kumulatif wabak itu di Sabah adalah 54,767 kes
Beliau berkata peningkatan kes COVID-19 pada semalam menjadikan jumlah kumulatif kes wabak itu di Sabah adalah 54,767 kes, manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula 39 orang, menjadikan jumlah kumulatif 53,930 orang.
Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Sabah, katanya, 59,277 telah menerima suntikan vaksin di negeri itu setakat ini, masing-masing 42,350 penerima vaksin dos pertama, manakala selebihnya iaitu 16,927 individu telah melengkapkan kedua-dua dos, katanya.