Penyertaan Pertandingan Manangon dan Monusuyan Dilanjutkan Hingga 10 Mei, Galak Pelajar Gunakan Bahasa Ibunda
Galak Pelajar Gunakan Bahasa Ibunda, Tarikh Penyertaan Manangon dan Monusuyan Dilanjutkan. Bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar menyertai pertandingan bercerita dan penceritaan kisah benar, tarikh tutup penyertaan bagi Pertandingan Manangon (penceritaan kreatif) dan Monusuyan (penceritaan kisah benar) telah dilanjutkan daripada 2 Mei kepada 10 Mei 2025.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Tindarama Rayner F. Udong, lanjutan ini bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam usaha memupuk penguasaan serta penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan pelajar.

“Justeru itu, kami menyeru semua pelajar yang berminat agar segera menghantar penyertaan dalam bentuk rakaman video seperti yang telah ditetapkan kepada jawatankuasa penganjur,” jelas beliau dalam slot temubual bersama DJ Lerry di Sabah VFM pada hari Rabu lalu.
Tiga Pertandingan, Satu Tujuan: Martabatkan Bahasa dan Budaya
Pertandingan Manangon, Monusuyan, dan Roisol (pidato awam) dianjurkan bersempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Tahun ini juga menyaksikan kelainan apabila Roisol diperkenalkan buat pertama kali di peringkat negeri, menjadikan penganjuran kali ini lebih istimewa.
Pertandingan ini terbuka kepada murid sekolah rendah dari seluruh Sabah tanpa mengira latar belakang kaum, etnik atau agama. Dua kategori umur disediakan, iaitu:
- Tahap Satu: Umur 7 hingga 9 tahun
- Tahap Dua: Umur 10 hingga 12 tahun
Ini memberi ruang kepada generasi muda untuk mengekspresikan kreativiti dan menyampaikan kisah sebenar dalam bahasa ibunda masing-masing.
Manangon dan Monusuyan Kini Ikonik
Manangon kini memasuki edisi keenamnya, manakala Monusuyan pula sudah empat kali diadakan. Kedua-dua pertandingan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan sekolah, menjadi platform penting dalam memupuk rasa bangga terhadap bahasa dan budaya sendiri.
Dengan pelaksanaan pertandingan ini, para pelajar tidak hanya diberi peluang untuk mempelajari nilai seni bercerita, malah membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, serta jati diri budaya yang kukuh.

