Suspek warga tempatan ditahan.
Perlombongan Bitcoin Menjadi-Jadi, 2 Premis Curi Bekalan Elektrik Lombong Bitcoin Di Tawau Diserbu. Polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang berusia 38 tahun kerana telah mencuri bekalan elektrik atas tujuan untuk menggerakkan 20 mesin perlombongan bitcoin di sebuah rumah kedai yang disewa di Bandar Sri Indah Tawau pada Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah ACP Peter AK Umbuas, sepasukan polis bersama juruteknik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Tawau menahan suspek kira-kira jam 2 petang dan merampas sebanyak 20 mesin perlombongan dan peralatan lain yang digunakan di premis tersebut.
Terdapat pendawaian secara haram dan juga kecurian elektrik
Beliau berkata bahawa, pemeriksaan pada meter elektrik oleh juruteknik SESB mendapati terdapat pendawaian secara haram dan juga kecurian elektrik di premis tersebut.
Suspek mengatakan bahawa dia menyewa premis itu dengan harga RM600 sebulan dan mengaku mencuri elektrik untuk menggerakkan mesin perlombongan sejak Disember tahun lalu, kata Peter, sambil menambah bahawa polis juga merampas monitor, CPU, papan kekunci, modem dan tetikus.
Susulan serbuan itu, polis turut melakukan serbuan kedua selang 30 minit kemudian di premis berasingan, kira kira 50 meter dari premis pertama dan turut merampas 40 mesin lombong bitcoin.

Polis terpaksa memecahkan pintu masuk
Bagi kedua-dua premis tersebut, polis terpaksa memecahkan pintu masuk yang terkunci, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa berkaitan aktiviti itu. Namun tiada tangkapan dibuat.
Katanya, SESB menganggarkan kerugian dari kecurian masing-masing sekitar RM5,000 dan RM7,000 dari kedua-dua premis itu.
Kedua-dua kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya semasa sidang media pada hari ini.
