Jarang-jarang ada ni, gais.
Pertunjukan 330 Dron Dan Bunga Api Bakal Menerangi Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di Sibu Malam 12 Mei. Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Sibu, bakal menjadi saksi kepada sebuah pertunjukan udara yang mengagumkan melibatkan formasi 330 unit dron pada malam 12 Mei ini. Acara ini merupakan kemuncak utama bagi Malam Penghargaan dan Perayaan sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 Kumpulan Rimbunan Hijau (RH). Keberangkatan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, dijangka akan menyerikan lagi majlis tersebut.
Selain pertunjukan dron yang pastinya memukau, para pengunjung juga akan disajikan dengan pertunjukan bunga api gilang-gemilang selama 12 minit. Kemeriahan malam tersebut akan ditambah lagi dengan persembahan istimewa daripada penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah. Tidak ketinggalan, pelbagai persembahan kebudayaan seperti persembahan gendang, alunan sape memukau daripada pemenang anugerah dunia, serta tarian singa dan naga yang penuh bertenaga turut akan dipersembahkan untuk menghiburkan seisi keluarga yang hadir.

Pada keesokan harinya, 13 Mei, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijadualkan untuk merasmikan pelancaran reka bentuk baharu serta kerja-kerja pengubahsuaian dalaman Menara Rimbunan Hijau pada sebelah pagi. Ini akan disusuli dengan Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas yang akan diadakan di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada malam yang sama.
Kalendar Sambutan Jubli Emas Kumpulan RH yang sarat aktiviti
Sambutan Jubli Emas Kumpulan RH ini turut padat dengan pelbagai acara sampingan yang telah dan sedang berlangsung. Antaranya termasuklah Larian Separuh Maraton RH Group yang telah berjaya menarik penyertaan seramai 3,044 peserta, termasuk lebih 60 pelari antarabangsa. Acara sukan lain seperti Pertandingan Golf Jubli Emas dengan tawaran hadiah hole-in-one bernilai RM2.6 juta, Mini Sukan, dan Larian Obor RH Group turut diadakan.
Di samping itu, sebuah Seminar Awam bertajuk ‘My Destiny is in My Hands’ yang menampilkan tokoh media dan ilmuan dari Taiwan, Lei Chien Joanna, juga merupakan sebahagian daripada kalendar sambutan. Sebelum ini, beberapa aktiviti kemasyarakatan dan sukan seperti Pertandingan Pengetahuan Am Kakitangan, kempen derma darah, pertandingan badminton, pingpong, karaoke, bola keranjang, serta sumbangan peralatan perubatan bernilai RM100,000 kepada Hospital Sibu telah berjaya dianjurkan.

Pengarah Urusan Kumpulan RH, Datuk Tiong Thai King, dan Pengurus Besar Perhubungan Korporat, Dato Thomas Tieng Mee Tung, dalam kenyataan mereka, menzahirkan rasa syukur atas pencapaian 50 tahun Kumpulan RH. Mereka menekankan bahawa sambutan ini bukan sahaja untuk meraikan kejayaan syarikat berkembang dari Sibu ke persada antarabangsa, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada pengasas, seluruh warga kerja atas kesetiaan dan dedikasi, serta usaha untuk terus menyumbang kepada ekonomi Sibu, Sarawak, dan Malaysia.
Pihak pengurusan Kumpulan RH turut menyeru seluruh warga Sibu untuk bersama-sama memeriahkan acara kemuncak di Dataran Tun Tuanku Bujang, yang juga bertujuan memperkenalkan Sibu di peringkat global.

