Kerjasama sektor minyak dan gas di Sarawak
Petros Kini Tunggu Maklum Balas Petronas Dalam Kerjasama Sektor Minyak Dan Gas Sarawak. Dilaporkan, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) kini sedang mengorak langkah untuk menjalinkan kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam sektor minyak dan gas (O&G) di Sarawak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Petros baru-baru ini telah menghantar surat kepada PETRONAS sebagai langkah awal untuk membincangkan butiran kerjasama mereka, termasuk penyelarasan aspek undang-undang dan komersial.

Petros tunggu maklum balas PETRONAS
Buat masa ini, kedua-dua pihak sedang meneliti butiran teknikal serta cara terbaik untuk menyelaraskan dua undang-undang utama iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958.
Petros sudah menghantar surat kepada PETRONAS untuk mencari jalan ke hadapan. Sekarang, kita tunggu maklum balas mereka,” kata Fadillah kepada media selepas program pengagihan bubur pedas di Satok.
Apabila ditanya bila surat itu dihantar, beliau menyatakan ia kemungkinan besar dalam minggu lalu.

Jika tiada kata sepakat, PM dan Premier Sarawak akan campur tangan
Fadillah juga menjelaskan bahawa sebarang keputusan seterusnya bergantung kepada jawapan dari PETRONAS. Jika perbincangan di peringkat operasi gagal mencapai persetujuan, isu ini akan dibawa ke Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk diselesaikan di peringkat lebih tinggi.
Jika mereka (Petros & PETRONAS) tidak dapat menyelesaikan butiran ini, barulah Perdana Menteri dan Premier kita akan masuk campur,” katanya.
Dengan potensi kerjasama ini, masa depan sektor minyak dan gas di Sarawak mungkin bakal memasuki era baharu yang lebih mapan dan menguntungkan.

