Penyelesaian Hak Minyak & Gas Sarawak
PM Anwar Bakal Umum Formula Agihan Gas Petros-Petronas, Kata Abang Jo. Sarawak dan Petronas kini berada di ambang penyelesaian terhadap pertikaian lama tentang hak minyak dan gas (O&G) di negeri tersebut. Dalam satu pengumuman yang sangat dinantikan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mendedahkan bahawa formula penyelesaian sudah pun tersedia, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
Dalam temubual eksklusif bersama TVSarawak, Abang Johari menjelaskan bahawa pertikaian yang berlarutan ini telah sampai ke penghujungnya. “Sebenarnya, formula sudah ada. Saya tak boleh dedahkan sekarang, tetapi Perdana Menteri akan umumkan. Isu ini dianggap selesai,” katanya.

Sumber gambar: Free Malaysia Today
Autonomi Ekonomi Sarawak Diperkukuh dengan Penyelesaian Hak Minyak & Gas
Pertikaian ini berakar daripada dua undang-undang utama: Petroleum Development Act 1974 (PDA) yang dipertahankan oleh Petronas, dan Oil and Mining Ordinance 1958 (OMO) yang menjadi pegangan Sarawak. Abang Johari menjelaskan bahawa kedua-dua akta ini kini boleh ‘hidup bersama’ untuk mengawal sumber minyak dan gas.
Dalam setahun yang lalu, Sarawak telah mendesak Petronas untuk memeterai perjanjian yang menjadikan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengagregat gas tunggal di negeri itu. Walaupun langkah ini mendapat kritikan, Abang Johari mempertahankan bahawa ia adalah hak perlembagaan Sarawak untuk menguruskan sumber semula jadi miliknya.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa langkah ini akan menyebabkan kerugian besar kepada Petronas. “Mungkin ada sedikit pengurangan keuntungan untuk Petronas, tetapi saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dengan baik,” katanya.
Walaupun berlaku perubahan dalam pengagihan hak, kerjasama antara Petros dan Petronas akan terus dikekalkan. Abang Johari menjelaskan bahawa kedua-dua entiti ini perlu bekerjasama kerana mereka menguasai sebahagian besar rizab gas di Sarawak.
Penyelesaian ini merupakan kemenangan besar bagi Sarawak, bukan sahaja dari segi pengiktirafan hak, tetapi juga sebagai lonjakan ke arah kestabilan ekonomi negeri. Dengan penglibatan Petros, Sarawak dijangka mampu memacu pembangunan industri minyak dan gas secara lebih menyeluruh.

