Jumlah rampasan terbesar setakat tahun ini
Polis Sarawak Rampas Rokok, Minuman Keras Bernilai Hampir RM100 Juta. Polis Sarawak merampas rokok dan arak jenis berbeza yang bernilai hampir RM100 juta dalam Op Taring Alpha yang dilakukan di tiga tempat berlainan di sekitar bandar, semalam.
Datuk Mancha Ata, Pesuruhjaya Polis Sarawak, berkata dalam operasi yang menumpukan kepada aktiviti penyeludupan itu, lapan orang lelaki berumur 22 hingga 67 tahun telah ditangkap di tiga premis di Jalan Setia Raja, Jalan Padungan dan Jalan Penrissen Batu 7 Padawan.
“Sejumlah 2,854 kotak arak dan rokok pelbagai jenama yang kebanyakannya telah luput tarikhnya dirampas dengan nilai keseluruhan sebanyak RM98,717,342.11 termasuk cukai.
“Semua suspek telah direman antara dua hingga tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Mancha berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan sehingga lima tahun dan boleh didenda sebanyak RM100,000.

