Hal ini susulan kekalahan salah seorang menterinya di peringkat tertinggi parti
Premier Nafi Rombakan Kabinet Sarawak, Pentadbiran Kekal Sehingga PRN. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari Tun Openg hari ini menepis spekulasi mengenai rombakan kabinet Sarawak, menegaskan bahawa pentadbiran sedia ada akan kekal tanpa perubahan.
Bercakap kepada media tempatan selepas menutup Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) semalam, Abang Zohari yang juga Pengerusi PBB menjelaskan bahawa tiada rancangan untuk menyusun semula kabinetnya.

“Tiada rombakan, tiada kaitan dengan rombakan. Ia akan kekal seperti sedia ada,” katanya ketika ditanya sama ada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah akan mengekalkan dua portfolionya selepas tewas dalam pemilihan PBB semalam.
Ahli yang kalah dalam undian dalaman parti masih sebahagian daripada pasukan
Abang Zohari turut menegaskan bahawa PBB tetap mengutamakan perpaduan dalaman parti, di mana mereka yang kalah dalam pemilihan masih mempunyai peranan dalam PBB.
“Semua bersatu dalam perjuangan PBB, maksudnya bukan semua menang, bukan semua kalah. Mereka yang tidak berjaya dalam pertandingan hari ini tetap sebahagian daripada pasukan,” katanya.
Mengenai pindaan Perlembagaan PBB, beliau menjelaskan bahawa perubahan yang dibuat hanya melibatkan istilah dan penubuhan Majlis Yang di-Pertua, yang akan dianggotai oleh presiden parti, timbalan-timbalan presiden, serta naib presiden kanan.
Premier akan terus berbincang dengan PMX mengenai operasi Petronas di Sarawak
Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai operasi Petronas di Sarawak, Abang Zohari berkata bahawa tafsirannya mungkin tidak sepenuhnya tepat.
“Saya rasa ia mungkin tidak sepenuhnya tepat. Sebab itu saya akan terus berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

