Guna unsur bijak pandai dan keagamaan untuk tarik minat pelajar dan ibu bapa
Produk Coklat Minda Guna Unsur Agama Untuk Tarik Minat Pelajar. Pelajar sekolah sering menjadi sasaran peniaga yang ingin mengaut keuntungan dengan cepat dan mudah. Mereka sering menggunakan unsur ‘bijak pandai’ dan keagamaan untuk menarik minat pelajar dan ibu bapa.
Baru-baru ini, satu hantaran tular di media sosial apabila seorang individu berkongsi mengenai “Coklat Minda dan Doa” yang ditawarkan kepada pelajar tadika.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, beliau mengingatkan ibu bapa agar tidak terpedaya dengan edaran kertas berkenaan yang mendakwa coklat tersebut dapat menambah baik kesihatan badan.
Bukan berbentuk tablet, sebaliknya ianya coklat manisan berbentuk bulat, malah tidak ada label
Coklat itu dijual pada harga RM10 sebotol tanpa label produk. Bentuknya pula seperti manisan coklat bulat yang boleh didapati di kedai runcit. Peliknya, coklat itu dikatakan mampu menurunkan kolesterol, meningkatkan fungsi otak, dan mencegah sakit jantung.
Lebih membuatkan coklat itu overclaim dan menunggang agama, coklat itu dikatakan telah dibaca doa mengikut kaedah para ulama islam. Ia perlu dimakan pada hari dan bilangan ganjil, serta dibaca selawat terlebih dahulu.
Produk ini mendapat kecaman netizen, rata-rata meminta pihak sekolah menyaring peniaga yang berusaha mengaut keuntungan. Ibu bapa juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan barangan yang dijual kepada anak-anak mereka agar mereka tidak terjerumus dengan amalan yang boleh memudaratkan kesihatan.
