Projek mega ini dijangka bermula selepas Hari Gawai tahun ini
Projek Mega Di Sibu, Jalan Bertingkat Pertama Sarawak Bakal Dibina Tahun Ini. Dilaporkan, Sarawak bakal tampil dengan projek jalan bertingkat atau elevated road pertama di Sarawak yang dibina di kawasan tanah paya menggunakan teknologi canggih! Projek mega ini dijangka bermula selepas Hari Gawai tahun ini dan akan menghubungkan Jalan Teku Pasai-Siong ke Kemuyang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata jalan sepanjang 7km ini menggunakan teknologi terkini seperti Building Information Modelling (BIM) untuk memastikan jalan tahan lama dan tak mudah rosak.

“Kalau buat jalan biasa atas tanah paya, kos mula memang murah, tapi tiga tahun lepas tu, jalan boleh mendap dan retak. Kos nak baiki pula tinggi,” jelas beliau.
“Jadi, kita guna pendekatan baharu dengan bina jalan bertiang (elevated road) supaya lebih tahan lama,” tambah beliau lagi.
Ketika berucap semasa majlis pecah tanah projek itu, Premier juga mengumumkan bahawa jalan ini akan mengurangkan masa perjalanan dari 30 minit ke hanya tujuh minit sahaja!

Majlis itu dihadiri oleh nama-nama besar seperti Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Projek ini bukan sahaja membawa inovasi dalam pembinaan jalan raya tetapi juga membuka lembaran baharu dalam kelancaran perjalanan di masa hadapan.

