Rakan ‘doktor palsu’ tampil memberi penjelasan
Rakan Dedah Sisi Baik ‘Dr. Shah’ Yang Memang Minat Dunia Perubatan Sehingga Berjaya Tubuh Persatuan Belia. Hari ini, Sarawak (atau secara spesifiknya, Kuching) digempar dengan laporan bahawa seorang lelaki berusia 20 tahun menyamar sebagai doktor sejak awal tahun 2021 dan penyamaran dia terbongkar baru-baru ini.
Lelaki berkenaan, Shah Hairil Izman, didapati pergi ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebanyak 32 kali menyamar sebagai doktor antara bulan Januari dan Julai tahun ini. Malah, dia turut memiliki pas palsu sebagai kakitangan HUS. Berikutan laporan tersebut, Shah Hairil juga disyaki terlibat dalam program suntikan vaksin apabila ia didapati bahawa dia mengunjungi PPV untuk melihat kes trauma terutamanya melibatkan kejadian buruk selepas imunisasi. Perlu diperhatikan bahawa kelakuannya begitu tulen dan meyakinkan sebagai seorang doktor hingga dibenarkan untuk bertugas sebagai sukarelawan di PPV dari 16 Jun hingga 1 Julai 2021.

Jelas sekali pendedahan ini menggegarkan netizen. Majoriti marah kerana tindakan pemuda itu yang tidak bertanggungjawab, sementara ada yang mengenalnya secara peribadi tidak percaya perkara tersebut telah berlaku.
Antara kenalannya yang mengulas mengenai perkara ini adalah rakan baik Shah Hairil Izman, Iqbal Ismail. Menurutnya, walaupun tidak setuju dengan tindakan Shah Hairil yang menyamar sebagai doktor, dia mengakui bahawa rakan karibnya telah bercita-cita untuk menjadi doktor sejak zaman persekolahan. Malah, cita-cita rakannya itu begitu mendalam sehingga berjaya menubuhkan sebuah persatuan belia untuk membantu mereka yang memerlukan.

Berhenti sekolah pada Tingkatan 5 kerana minat yang mendalam kepada Sains
Rakan kepada Shah Hairil, Iqbal Ismail, berkongsi menerusi Facebook mengenai perwatakan Shah Hairil yang begitu minat menceburi bidang perubatan.
Menurut Iqbal, Shah Hairil merupakan bekas pelajar Vokasional Kuching dan berhenti persekolahan pada Tingkatan 5 kerana minatnya yang mendalam pada Sains. Berkenalan sejak usia 16 tahun, Iqbal mencerita bahawa Shah Hairil dari dahulu ingin melibatkan diri dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan membantu orang lain.
Malah, Shah Hairil dikatakan sangat meminati Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan pernah mengetuai persatuan untuk aktiviti di sekolah. Semasa zaman ini juga Iqbal dan rakan-rakannya mendengar dari Shah Hairil tentang cita-citanya yang ingin menjadi seorang doktor.

Begitu sporting Iqbal dan rakan-rakannya untuk ‘membantu merealisasikan’ impian Shah Hairil, mereka sudi berlakon menjadi pesakit kerana terhibur oleh watak Shah Hairil yang sangat celik dalam kedoktoran!
Sering mengunjungi hospital untuk melihat kegiatan para medik
Iqbal kemudian mengulas tentang minat Shah Hairil yang sering ke hospital untuk melihat kegiatan para medik dan berangan dia salah satu kakitangan di sana.
Selain itu, Shah Hairil juga dikatakan selalu menyertai sukarelawan di hospital dan telah memberitahu ibu bapanya bahawa dia ingin terlibat dalam bidang perubatan. Cita-cita ini turut disokong oleh ibu bapanya.
Malah, dedikasinya untuk mencapai cita-citanya dapat dilihat oleh kerajinan Shah Hairil. Menurut Iqbal, Shah Hairil merupakan seorang yang berdedikasi pada tugas dan rajin belajar akan sesuatu masalah. Ia sehingga dia bijak dalam mempelajari ilmu perubatan dalam talian.

Oleh kerana minat Shah Hairil yang mendalam dalam bidang perubatan dan keinginannya untuk membantu orang, Iqbal mencadangkan sesuatu kepada Shah Hairil. Cadangan ini kemudian menjadi sebuah ‘projek’ yang sekurang-kurangnya membantu Shah Hairil merealisasikan salah satu keinginannya.
Shah Hairil dan rakan-rakannya menubuhkan satu persatuan belia khas untuk membantu orang lain
Dengan sokongan rakan-rakannya, Shah Hairil dan Iqbal menubuhkan sebuah persatuan belia. Di sini juga Shah Hairil banyak menyumbang idea kepada program kebajikan dan membantu orang lain.

Iqbal turut memuji Shah Hairil kerana dia merupakan salah satu ahli yang banyak mengerakkan program sepanjang mereka bersama. Dedikasi Shah Hairil untuk membantu orang lain dapat dilihat dengan kebolehannya untuk menganjurkan sesuatu sehingga persatuan terbabit mendapat perhatian dan bahkan diberikan dana kerana aktif dalam program kebajikan.

Selain itu, Shah Hairil juga bertanggungjawab dalam mengusahakan kelab belia ikon sebagai wakil sukarelawan.

Rakan tidak mengetahui bahawa Shah Hairil menyamar sebagai doktor selama ini
Walaupun mendedah serta memuji perwatakan peribadi Shah Hairil, Iqbal turut menyentuh mengenai isu penyamaran doktor yang menjadi kontroversi hari ini.
Menurut dia, dia dan rakan-rakan lain tidak mengetahui selama ini Shah Hairil telah menyamar sebagai doktor di PPV Kuching kerana mereka diberitahu oleh Shah Hairil bahawa dia hanya bertugas sebagai sukarelawan. Oleh kerana ia sudah kebiasaan untuk melihat Shah Hairil bertugas sebagai sukarelawan, Iqbal dan rakan-rakannya tidak mengambil tahu lanjut tentang pekerjaannya di sana.

Iqbal juga menjelaskan perkara sebenar mengapa Shah Hairil menyamar sebagai doktor.
“Pemalsuan yang telah beliau lakukan sebenarnya tidak ada sebarang motif untuk mencederakan orang dan jenayah, beliau di sana hanya membantu sukarelawan dalam kerja-kerja biasa. Selain itu semua diuruskan oleh pihak kesihatan yang berkelayakan.”
Meskipun Shah Hairil ialah rakan baik Iqbal, Iqbal turut tidak menyokong rakannya yang telah menyamar sebagai doktor selama ini.
“Kesilapan beliau hanyalah bertindak dengan berani menggunakan identiti palsu hanya kerana ingin berperwatakan doktor. Namun kami juga menyokong pihak kesihatan dan polis untuk tindakan atas kesilapan beliau. Sebagai pengajaran agar tidak berulang lagi.”
Seorang yang sebenarnya mempunyai usaha murni tetapi menggunakan cara yang salah
Iqbal mengakhiri ciapannya dengan mengatakan bahawa Shah Hairil mempunyai usaha murni untuk bersama barisan hadapan menangani pandemik namun tindakan Shah Hairil adalah salah serta mengundang rasa takut pada orang ramai.
“Sebagai sahabat, saya hanya mampu memberi sedikit perkongsian tentang watak beliau kerana merasa terkilan akan komen-komen yang sangat negatif dan memberi kesan kepada keluarga beliau,” ulasnya lagi.
Semoga kejadian ini tidak berulang lagi. Walaupun ia tidak dinafikan bahawa Shah Hairil hanya memiliki niat baik, cara ia dilakukan salah dan tidak bertanggungjawab. Semoga dia dapat belajar dari kejadian ini dan semoga dia dapat mencapai cita-citanya dengan cara yang betul pada masa akan datang.
Nasib Shah Hairil akan diketahui pada 17 Ogos 2021 dan setakat ini, tiada pengakuan dicatatkan memandangkan Shah Hairil berusia di bawah 21 tahun.