Boleh ke Makanan Sihat Jadi Sedap Sampai Ramai yang Cari?
Bagaimana Restoran Ini Tawar Makanan Sihat di Sarawak Sampai Jadi ‘Favourite’ Hingga Ke Brunei. Bila sebut tentang makanan sihat di Kuching, apa yang terlintas di fikiran anda? Salad daun layu, dada ayam yang kering kontang, atau menu berulang yang membuat tekak naik kering dan muak? Jika ya, anda bukan seorang diri.
Mencari pilihan makanan sihat itu sendiri adalah satu cabaran besar, apatah lagi yang benar-benar sedap, berkhasiat, dan tidak membosankan di ibu kota Sarawak.
Masalahnya? Kurang pilihan š¤·š»āāļø Bayangkan, setiap hari terpaksa makan menu yang sama, berulang kali. Bukan setakat putus asa, silap hari bulan boleh trauma dengan makanan sihat. Restoran makanan sihat Sarawak, Avocbar ternyata memahami dilema ini dengan baik.

Masalah di Sarawak: Sukar Mencari Tempat Makan Dengan Menu Sihat
Segalanya bermula dari keperluan peribadi salah seorang pengasas bersama, Jenny, di Miri. Beliau yang sangat gemar makan makanan sihat menyedari bahawa sukar untuknya mencari tempat yang sesuai untuk hidangan dietnya. Maka, tercetuslah idea untuk membuka Avocbar dan berkongsi seleranya kepada orang ramai.
“Pada awalnya, kami tidak sangka ia akan menjadi perniagaan. Ia bermula hanya kerana Jenny mahukan tempat makan diet untuk dirinya sendiri,” kongsi Dennis Kong, rakan kongsi Avocbar.

Namun, bermula dari satu cawangan di Miri, Avocbar kini telah melebarkan sayap ke Kuching, Bintulu dan Brunei. Apa yang lebih menakjubkan, perniagaan mereka tidak terjejas walaupun ketika ada festival makanan besar di Kuching. Ini kerana mereka yang menjaga badan atau berdiet, tetap akan mencari Avocbar, menunjukkan ia adalah perniagaan yang stabil dan mempunyai permintaan yang konsisten.
Pilihan Menu Sihat yang Pelbagai, Termasuk Diet Keto
Restoran ini bukan sahaja menyajikan hidangan yang sihat, malah mereka berjaya “menyamarkan” makanan berkhasiat sebagai sajian lazat yang digemari ramai, sehinggakan ia menjadi pilihan utama bagi pelanggan biasa (yang tidak serius pun nak diet!).
“Kalau nak diet intensif 90 hingga 120 hari, tapi setiap hari kena makan benda yang sama, saya berani jamin anda akan cepat give up,” kongsi Dennis lagi. Itulah sebabnya mereka komited untuk menyediakan seberapa banyak pilihan yang mungkin. Dari variasi salad signature yang segar bugar, hidangan utama berasaskan protein berkualiti, sehinggalah ke snek sihat yang menggoda, Avocbar memastikan setiap kunjungan pelanggannya bukan sekadar sebuah kunjungan untuk makanan sihat, tetapi juga pengalaman kulineri yang menggamit deria rasa.

Apa yang lebih menarik, Avocbar juga antara pelopor hidangan keto di Borneo. Mereka turut menyediakan ‘Keto Corner’ khas dengan pelbagai pilihan menu, termasuklah snek dan roti keto.
Baca juga: Kitar Semula Beg Grab Menjadi Beg Baru, Kenali Pereka Fesyen Sarawak Neng Kho Razali
Tidak Berkompromi dengan Kualiti dan Kesegaran Bahan
Salah satu cabaran terbesar dalam perniagaan makanan sihat adalah sumber bahan mentah. Menurut Dennis, mereka juga sangat menitikberatkan penggunaan bahan-bahan segar seperti memastikan ianya bebas racun perosak, dan hanya menggunakan minyak zaitun berkualiti tinggi.
“Jujur kami katakan, ia agak rumit disebabkan kos dan sukar mendapatkan sumber yang tulen serta segar,”. Mereka bertegas untuk menggunakan bahan segar, bukan makanan sejuk beku atau diproses, meskipun ia bermakna harus mengeluarkan kos yang lebih tinggi. Komitmen ini adalah nadi utama yang memastikan kualiti dan rasa hidangan Avocbar sentiasa terjamin.

Konsep Muslim-Friendly & Tanpa Gula Tambahan Mendapat Sambutan
Bercakap tentang makanan sihat, masalah ini turut dihadapi oleh pasaran Muslim di sini. “Kami dapati ramai Muslim tidak mempunyai banyak pilihan masakan sihat. Jadi, kami komited untuk menyediakannya demi memenuhi pasaran yang lebih luas,” ujar Dennis kepada I Love Borneo.
Restoran ini turut mengambil inisiatif untuk memastikan hidangan mereka mesra Muslim dan tiada sebarang gula tambahan setelah mengambil kira maklum balas daripada jawatankuasa syarikat selain peluang pasaran yang besar, terutamanya di Malaysia. Maka, tidak hairanlah jika restoran ini juga dikunjungi oleh masyarakat daripada pelbagai lapisan dan latar belakang, mencerminkan kepekaan mereka terhadap permintaan pelanggan.
Ada Pelanggan Setia yang Tak Pernah Jejak Kaki ke Kedai Pun Sebab…
Restoran ini juga baru-baru ini telah meraih Anugerah 5 Bintang GrabFood 2024 bagi kategori āMakanan Sihat Pilihan Ramaiā, sebuah pengiktirafan yang cemerlang dalam pasaran makanan dan minuman Malaysia.

Kerjasama dengan Grab telah menjadi game changer buat Avocbar apabila peluang pasarannya berkembang melangkaui dinding restoran fizikal mereka, terutamanya semasa pandemik. Menariknya, Avocbar mendapati mereka mempunyai dua set pelanggan yang terdiri daripada mereka yang sering mengunjungi restoran, dan mereka yang gemar memesan melalui Grab.
Fakta menarik tentang pelanggan yang gemar memesan melalui Grab ini adalah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke kedai fizikal pun!
Ini membuka segmen pelanggan baharu dan membantu Avocbar menjangkau audiens yang lebih luas melalui promosi dan pemasaran Grab.

Kemenangan ini tentunya menjadi pengesahan terhadap kualiti yang konsisten, perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, dan rasa hidangan yang sentiasa dijaga.
Kalau Betul Cara, Makanan Sihat Seronok dan Bukan Hukuman Seperti Ramai Orang Sangka
Falsafah Avocbar untuk mengekalkan gaya hidup sihat adalah dengan menjadikan ia seronok dan unstressful. Pesan Dennis, “Makan sihat bukan bermakna anda perlu berdiet 24/7. Anda hanya perlu amalkannya dalam diet anda, mungkin tiga atau empat hari makan lebih sihat, dan selebihnya anda boleh makan apa sahaja yang anda suka,”.
Pendekatan ini sangat realistik dan telah membantu ramai pelanggan Avocbar melihat perubahan positif pada kesihatan mereka, dari mengurangkan diabetes hingga tekanan darah tinggi. Lama-kelamaan, ia akan menjadi tabiat dan menjadi sebuah gaya hidup semulajadi.

Mahu Lebarkan Sayap ke Semenanjung dan Singapura
Melihat ke hadapan, Avocbar mempunyai visi yang besar. Mereka berhasrat untuk mengembangkan produk sihat jenama mereka sendiri, seperti mi konjac dan mi shirataki yang sudah ada di pasaran. Selain itu, impian terbesar mereka adalah untuk menaik taraf program pelesenan mereka kepada francais, dengan matlamat untuk meluaskan jangkauan ke Semenanjung Malaysia dan juga Singapura.

Bagi mereka yang ingin memulakan perjalanan makanan sihat, ini nasihat Avocbar buat anda:
“Jangan mulakan dengan besar. Mulakan dengan kecil. Tukar satu hidangan sehari sahaja, dan jadikan ia sesuatu yang anda nantikan. Pilihan yang lebih sihat harus dilihat sebagai penjagaan diri, bukan hukuman.”
Jadi, jika anda berada di Kuching, Bintulu, Miri dan Brunei yang sedang mencari alternatif makanan sihat yang benar-benar berbeza, sedap, dan tidak membosankan, Avocbar mungkin jawapannya.
Siapa tahu, anda mungkin akan mula ketagih makan sihat selepas ini!

