Ruai digunakan untuk pembelajaran anak-anak rumah panjang di Sarawak.
Ruai Based Learning, Inisiatif Sekolah Di Kapit Atasi Masalah Capaian Internet Lemah Di Pedalaman. Kes jangkitan meningkat lagi. Gelombang kali ini ternyata lebih dahsyat daripada sebelum ini. Berdasarkan situasi tersebut, pihak kerajaan sekali lagi membuat keputusan untuk menutup sesi persekolahan dan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi sehingga awal tahun hadapan. Bagi sebilangan pelajar, tahun ini pastinya dianggap sebagai tahun ‘bulan madu’ namun kebanyakan pelajar menganggap perkara tersebut adalah sebuah masalah yang besar.
- Ruai digunakan untuk pembelajaran anak-anak rumah panjang di Sarawak.
- Buat ‘kelas’ di ruai, lembaran kerja dihantar oleh para guru ke setiap rumah panjang setiap minggu
- Ibu bapa dan Tuai Rumah bertanggungjawab pantau pembelajaran anak-anak di ruai
- “Secanggih-canggih si telefon pintar, jika tiada internet, tidak berguna jua,”
- Baca juga kisah warga pedalaman yang lain yang gigih meneruskan pembelajaran sepanjang PKP tahun ini :
Apatah lagi di kawasan pedalaman. Guru dan pelajar pastinya bermuram durja. Namun, hidup harus diteruskan, bukan?
Menerusi muat naik entri Facebook sebuah sekolah rendah di Kapit iaitu SK Nanga Oyan, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk melaksanakan ‘Ruai Based Learning’ iaitu sesi pembelajaran dan penghantaran kerja sekolah ke rumah-rumah panjang.
Program Ruai- Based Learning ( RBL)Masalah ketiadaan capaian dan akses internet di kawasan pedalaman menyebabkan…
Posted by SK Nanga Oyan , Kapit, Sarawak on Thursday, November 19, 2020
Buat ‘kelas’ di ruai, lembaran kerja dihantar oleh para guru ke setiap rumah panjang setiap minggu
Melalui inisiatif ini, lembaran kerja sekolah akan dihantar ke setiap rumah panjang di kawasan Sungai Oyan dan Sungai Mujong, Kapit. Bukan itu sahaja, ruai iaitu ruang koridor panjang di setiap rumah panjang digunakan sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran murid-murid di rumah panjang masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Kaedah ini nampaknya lebih mudah dan dekat dengan para pelajar kerana aktiviti pembelajaran dijalankan setiap hari.
Kerja sekolah dan lembaran aktiviti akan disediakan oleh pihak guru dengan menghantarnya terus ke rumah panjang mengikut zon yang telah dibahagikan oleh pihak sekolah. Sebagai contoh, Zon 1 adalah rumah panjang yang berada di seberang sekolah. Manakala Zon 2 pula merupakan rumah panjang yang berada di kawasan sepanjang Sungai Oyan iaitu rumah Jimmy Jarraw dan Rumah Lumpun. Terakhir iaitu Zon 3 menempatkan rumah panjang Rumah Dawin, Rumah Peter, Rumah Sengiang, Rumah Nisson dan Rumah Along.
Ibu bapa dan Tuai Rumah bertanggungjawab pantau pembelajaran anak-anak di ruai
Melalui inisiatif ini juga, kini giliran ibu bapa pula yang bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mengikuti pembelajaran di ruai rumah panjang. Tuai rumah juga telah dilantik oleh pihak sekolah dan berperanan untuk memantau agar pembelajaran di ruai rumah berjalan seperti biasa.
Mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan setiap tugasan yang dilakukan oleh anak-anak rumah panjang mereka dihantar ke sebuah Drop Zone untuk disemak oleh guru matapelajaran pada setiap hari Isnin setiap minggu. Tugasan yang baru juga akan dihantar ke Drop Zone oleh para guru untuk diagihkan oleh Tuai Rumah kepada anak-anak rumah panjang masing-masing.
Sumber : FB SK Nanga Oyan
Melalui kerjasama pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti, isu ketiadaan akses internet yang lemah di kawasan pedalaman tidak menjadi penghalang untuk memberikan pendidikan terbaik seperti sedia kala kepada para pelajar.
“Secanggih-canggih si telefon pintar, jika tiada internet, tidak berguna jua,”
Tatkala era capaian internat global mulai memasuki rangkaian 5G, namun kawasan pedalaman di Malaysia masih lagi ketinggalan. Jangankan capaian 4G, akses internet pun belum ada. Jurang yang besar ini berpotensi menyebabkan tahap celik IT di kawasan bandar dan luar bandar semakin membesar. Begitu juga dengan tahap pendidikan yang kini sedikit demi sedikit semakin melangkah ke arah digital.
Namun, secanggih-canggih si telefon pintar, tanpa internet, tidak berguna juga. Pemilikan gajet sahaja tidak memadai memandangkan fungsi offline gajet adalah sangat terhad. Apatah lagi, segala sumber maklumat terkini dan platform kini hampir kesemuanya perlu diakses secara online.
Apa-apa pun, tahniah kepada pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti rumah panjang atas usaha ini. Semoga segala kesusahan dan kepayahan ini dibalas dengan kejayaan anak murid kalian serta dipermudahkan pada suatu hari nanti. Agi idup agi ngelaban!
