Rumah Atas Air Runtuh, 9 Sekeluarga Diselamatkan
Rumah Atas Air Di Semporna Runtuh, 9 Sekeluarga Termasuk Kanak-Kanak OKU Terperangkap. Satu keluarga seramai sembilan orang termasuk kanak-kanak hampir kehilangan nyawa dalam satu kejadian di Semporna, Sabah pada hari Sabtu apabila rumah atas air yang mereka diami tiba-tiba runtuh dan tenggelam.
Ketika kejadian tersebut, ada antara mangsa yang sedang makan tengah hari dan ada yang sedang menjalankan aktiviti harian mereka. Menurut Ketua Balai Bomba Kampung Air Semporna, Noor Jali Maslah, pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 1:11 petang.

Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada seorang lelaki, tiga wanita, dan lima orang kanak-kanak (tiga lelaki dan dua perempuan). Salah seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami masalah pertuturan pada mulanya terperangkap dalam bilik yang runtuh tetapi berjaya diselamatkan.
Kesemua mangsa yang terlibat telah dikenal pasti, namun umur mereka tidak dapat direkodkan kerana dokumen pengenalan diri telah hilang dalam kejadian tersebut. Pemeriksaan kesihatan menunjukkan semua mangsa dalam keadaan stabil dengan hanya mengalami lebam dan luka ringan.
Para mangsa kemudiannya dipindahkan ke balai raya kampung untuk penempatan sementara. Operasi menyelamat tamat pada pukul 2:59 petang selepas pihak bomba memastikan kawasan tersebut selamat.

