Sebuah rumah di antara dua negara
Kenali Rumah Dua Negara, Dapur Di Malaysia Ruang Tamu Di Indonesia. Tahukah anda Malaysia mempunyai rumah yang terletak di sempadan antarabangsa? Malah, Indonesia pun ada!
Fun fact, rumah berkenaan adalah rumah yang sama – di mana dapur rumah tersebut berada di sempadan Malaysia, manakala ruang tamunya berada di sempadan Indonesia.

Terletak di Pulau Sebatik, di mana ia dibahagikan kepada dua bahagian
Rumah tersebut terletak di Sungai Aji Kuning di Pulau Sebatik, iaitu di sebelah timur laut Kalimantan. Oleh itu, ia juga menjadi sebahagian daripada wilayah Kalimantan Utara.

Dibahagikan kepada dua bahagian, bahagian Utara dimiliki oleh Malaysia manakala bahagian Selatan pula dimiliki oleh Indonesia.
Rumah itu terletak tepat-tepat di sempadan, oleh itu ia digelar ‘rumah dua negara’.
Pemilik rumah tersebut merupakan warganegara Malaysia, iaitu Anuar Patagang.

Rumah terbahagi kepada dua, mengikut sempadan
Rumah ini dibahagikan kepada dua mengikut sempadan. Yang menarik tentangnya ialah kedua-dua bilik dihias dengan konsep budaya masyarakat negara masing-masing untuk menandakan negara tempat bilik terletak. Rumah tersebut dibina bercirikan masyarakat Malaysia.
Ruang tamu terletak di bahagian Indonesia, manakala dapurnya terletak di bahagian Malaysia. Untuk bahagian Malaysia, dapur rumah itu mempunyai bendera Jalur Gemilang yang berkibar di bahagian beranda. Bagi bahagian Indonesia, ruang tamu tersebut dicat dengan warna merah dan putih untuk melambangkan negara Indonesia.

Tak cukup lagi nak bezakan sempadan, terdapat juga tanda sempadan di laluan jalan dari arah ruang tamu menuju ke ruang dapur rumah itu!

Pulau yang unik kerana ia dimiliki oleh dua negara
Pulau Sebatik merupakan antara pulau yang unik. Hal ini kerana ia dimiliki oleh dua negara, lebih-lebih lagi ia mempunyai sebuah rumah yang terletak di pertengahan sempadan Malaysia dan Indonesia.
Walaupun berkongsi sempadan, rumah ini telah melambangkan kesatuan antara dua negara yang berbeza.
Sekiranya anda berkunjung ke sini, pasti anda rasa keliru sebentar kerana sekejap anda berada di Malaysia, sekejap berada di Indonesia! What a unique experience!
Kenali Rumah Dua Negara, Dapur Di Malaysia Ruang Tamu Di Indonesia