RM119 Setiap Sesi Ditanggung Kerajaan
Sabah Peruntuk RM8.52 Juta, 100 Mesin Dialisis Percuma Bantu Pesakit Buah Pinggang. Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM8.52 juta bagi menyediakan 100 unit mesin hemodialisis dan rawatan percuma untuk pesakit buah pinggang tahap akhir menerusi Skim Bantuan Kesihatan SMJ Sabah Sejahtera.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, langkah ini merupakan penyelesaian jangka pendek kerajaan negeri untuk meringankan beban kewangan dan fizikal pesakit serta penyedia perkhidmatan kesihatan, sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

1,358 Pesakit Dialisis Sabah Terima Manfaat Skim Kesihatan SMJ
“Kerajaan amat memahami dan prihatin dengan penderitaan fizikal serta kewangan yang dihadapi oleh pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis. Oleh itu, fasa pertama skim ini memberi fokus kepada 1,358 pesakit yang sedang menerima rawatan di klinik dan hospital, selain 797 pesakit lain yang menjalani rawatan dialisis di rumah menerusi kaedah Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD),” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri telah mula menanggung kos rawatan dialisis sebanyak RM119 bagi setiap sesi rawatan. Bayaran ini adalah satu beban yang besar memandangkan pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak tiga kali seminggu, sementara menunggu mesin-mesin dialisis yang sedang diagihkan secara berperingkat ke seluruh negeri.
Langkah proaktif kerajaan negeri ini bukan sahaja melegakan pesakit, malah memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan kesihatan untuk terus menyediakan rawatan terbaik kepada penduduk Sabah yang memerlukan.

