Sabah dan Sarawak Selaraskan Program Rumah Keduaku
Sabah Sarawak Dalam Perbincangan Seragamkan Syarat Program MM2H. Program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) dan Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (Sarawak-MM2H) bakal diselaraskan dari segi terma dan syarat penyertaannya.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Christina Liew, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Sarawak untuk mencapai persetujuan mengenai aspek-aspek utama program tersebut, termasuk bayaran deposit yang dikenakan kepada peserta.

Christina juga memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan Datuk Seri Abdul Karim, dalam masa terdekat
Beliau berkata demikian semasa Majlis Jamuan Selamat Datang untuk delegasi Persidangan Global Longchuan Association Fellowship ke-7 yang turut diadakan serentak dengan Persidangan Promosi Pelaburan Pembangunan Industri Longchuan, di Kota Kinabalu semalam.
Christina juga memaklumkan bahawa beliau akan bertemu dengan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan bahawa ejen pelancongan dan pengembaraan Malaysia sedang giat mempromosikan destinasi ke China, termasuk bandar-bandar utama, kepada rakyat Malaysia menerusi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Pameran ini telah dimasukkan ke dalam Malaysian Book of Records (MBR) kerana penyertaan kali ini mencatatkan 1,590 gerai pameran, yang terbesar setakat ini,” katanya lagi.
Majlis jamuan tersebut turut dihadiri oleh kira-kira 500 perwakilan dari China, termasuk pemimpin dan pegawai dari Longchuan, serta delegasi dari Taiwan, Singapura, Hong Kong, Macau, Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
“Saya sebagai Menteri KePKAS amat berbesar hati menyambut kehadiran anda semua ke Kota Kinabalu, Sabah. Luangkan masa untuk melawat pulau-pulau indah di sini, mencuba makanan laut segar dan menikmati budaya tempatan kami,” tambah beliau.
