Penemuan Ini Diketuai Oleh Seorang Profesor Wanita
Saintis Singapura Berjaya Hasilkan Kit Ujian Pantas COVID-19 Secepat 5 Minit Sahaja. Sekumpulan saintis di Singapura telah berjaya menemui penyelesaian untuk memendekkan masa ujian pengesanan COVID-19. Kajian oleh Makmal NanoBio Lab di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) tersebut diketuai oleh seorang saintis wanita iaitu Profesor Jackie Ying. Khabarnya, mereka telah berjaya mencipta sebuah kit ujian pantas yang mampu menentukan keputusan ujian COVID-19 secepat lima minit sahaja.
Kit ujian yang dinamakan ‘Cepat’ tersebut kini sedang mendapatkan kelulusan kerajaan Singapura untuk digunakan dan bakal menjadikannya sebagai kit ujian COVID-19 yang terpantas.
Tambah Profesor Ying, pihaknya telah melakukan pengesahan klinikal awal di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan menggunakan sampel sebenar daripada pesakit. Hasil ujian mendapati kit tersebut sangat sensitif dan tepat.
Profesor Jackie Ying dan pasukannya merupakan antara salah sebuah kumpulan penyelidik dari seluruh dunia yang sedang mengejar masa untuk mencipta kit ujian pantas COVID-19 agar keputusan positif dapat diketahui dengan lebih cepat berbanding ujian makmal biasa.
Syarikat Penjagaan Kesihatan Amerika Turut Lancar Ujian COVID-19 Sepantas 5 Minit Minggu Ini
Dalam perkembangan yang sama, syarikat penjagaan kesihatan ulung Amerika iaitu Abbott bakal melancarkan ujian COVID-19 ‘molecular point-of-care’ yang diberi nama ID NOW™.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat ini menerusi laman sesawangnya, ID NOW™ ini berupaya untuk mengesan hasil positif COVID-19 sepantas 5 minit sahaja manakala pengesanan hasil positif akan dapat diketahui dalam masa 13 minit. Alat mudah alih tersebut berbentuk kotak ringan dengan berat 2.9 kilogram dan boleh digunakan di mana-mana lokasi.
Tidak seperti kebiasaan ujian yang perlu dilakukan di makmal ujian, ID NOW™ ini boleh digunakan sama ada di pejabat pengamal perubatan, kaunter saringan, atau kawasan hotspot jangkitan COVID-19.
Penggunaan alat ‘molecular point-of-care’ yang dicipta berdasarkan teknologi molekular itu telah mendapat kelulusan ‘Emergency Use Authorization (EUA)’ daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Sebaik sahaja alat ini digunakan secara meluas di Amerika Syarikat bermula minggu ini, syarikat pengeluarnya menyasarkan untuk menghasilkan ujian COVID-19 dengan keputusan penuh sebanyak 50,000 ujian setiap hari.
Tonton bagaimana alat ini berfungsi mengesan virus COVID-19 dalam masa sepantas 5 minit :
Abbott ID NOW™ ini mula diperkenalkan pada tahun 2014 dan telah membantu dalam pengesanan Influenza A&B, Strep A dan respiratory syncytial virus (RSV).