Seramai 123 individu disaring di mana 45 kes dikesan positif COVID-19.
Salah Satu Kluster Baharu Di Sarawak Berpunca Dari Upacara Pengebumian Di Kampung Siol Kandis, Kuching. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengesahkan bahawa upacara pengebumian dan sembahyang kematian telah mencetus satu kluster baharu di Sarawak iaitu Kluster Lorong 3, Kampung Siol Kandis di Kuching.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan kluster komuniti
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan kluster komuniti berkenaan semalam. Kluster tersebut dikesan melibatkan beberapa buah keluarga di Lorong 3, Kampung Siol Kandis, Petra Jaya, Kuching.
“Perebakan jangkitan berlaku melalui upacara pengebumian dan sembahyang kematian pada 2 Jun hingga 4 Jun 2021 dan pada 12 Jun 2021 serta pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan individu dan keluarga individu yang telah menghadiri upacara tersebut.
“Sejumlah 123 individu disaring di mana 45 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks dan 78 kes didapati negatif.
“Kesemua kes positif COVID-19 ini dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC di daerah Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya.

Jawatankuasa turut mengumumkan satu kluster ditamatkan
Jawatankuasa turut mengumumkan satu kluster ditamatkan semalam iaitu Kluster Jalan Haji Lampam, Miri setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan kluster ini.
Hal ini menjadikan jumlah kluster yang masih lagi aktif di negeri Sarawak adalah sebanyak 95 kluster.
“Sebanyak 16 kluster aktif yang telah merekodkan 125 penambahan kes baharu manakala 79 kluster tidak merekodkan penambahan kes,” katanya.