Kucing Rentung, Pengadu Dakwa Perbuatan Khianat
Pengadu Dakwa Sangkar Kucing Sengaja Dibakar Di Sarawak, Netizen Terkesan Lihat Kucing Rentung. Tular di media sosial satu hantaran memilukan yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Shia Elisabeth Avalon, mengenai satu insiden kebakaran yang dipercayai berlaku di kawasan kediaman beliau yang menempatkan beberapa ekor kucing.
Dalam hantaran tersebut, kelihatan beberapa sangkar besi yang telah hangus, bersama kesan kebakaran yang teruk. Menurut Shia, api mula marak secara tiba-tiba dan beliau percaya kejadian tersebut bukan disebabkan oleh faktor semula jadi seperti angin atau litar pintas, tetapi sebaliknya berunsur khianat.

Dakwa pengadu, beliau tercium bau asap pada waktu malam
Shia mendakwa beliau hanya menyedari kejadian itu kerana terhidu bau asap pada waktu malam. Beliau menyifatkan situasi itu sangat mencurigakan dan menegaskan bahawa tiada ribut atau punca logik yang boleh menyebabkan sangkar terbakar dengan sendiri. Katanya, jika beliau lambat sedikit menyedari kejadian, mungkin keseluruhan rumah turut terbakar.
Lebih menyayat hati, beberapa ekor kucing peliharaan tidak dapat diselamatkan dan dilaporkan rentung di dalam sangkar.
“5 ikuk jak selamat madik,” tulis Shia dalam ruangan komen, merujuk kepada lima ekor kucing yang sempat diselamatkan.
Netizen Marah, Desak Keadilan
Ruang komen dibanjiri dengan ucapan takziah, kemarahan dan rasa kecewa daripada pengguna media sosial lain yang turut berkongsi rasa simpati.
Mereka juga menzahirkan rasa tidak puas hati kerana perbuatan tersebut bukan sahaja zalim terhadap haiwan yang tidak bersalah, tetapi juga berpotensi membahayakan nyawa manusia.
Laporan Polis Akan Dibuat
Menurut Shia, laporan polis berhubung insiden tersebut telah dibuat sebentar tadi. Namun begitu, lokasi sebenar kejadian tidak dinyatakan secara jelas dalam hantaran itu, mungkin demi menjaga keselamatan diri atau siasatan lanjut.
Beberapa komen lain turut mencadangkan agar Shia menyebarkan kes ini ke pihak media supaya mendapat perhatian pihak berkuasa dan keadilan dapat ditegakkan.

