Sarawak antara empat lokasi di dunia boleh menyimpan karbon
Sarawak Antara 4 Lokasi Di Dunia Memiliki Kemampuan Penyimpanan Karbon. Dilaporkan bahawa, Sarawak merupakan salah satu daripada empat lokasi di dunia yang memiliki kemampuan dan kesesuaian untuk menyimpan karbon dioksida di bawah tanah.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kelebihan ini telah meningkatkan lagi minat kerajaan Sarawak dalam menyelidik serta membangunkan inisiatif Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) yang dihasilkan oleh kegiatan ekonomi, seperti pembakaran bahan bakar fosil.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja untuk membantu ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan memerangi perubahan iklim, malah secara tidak langsung membuka peluang untuk Sarawak menambahkan lagi sumber pendapatan.
Sekiranya ada yang berminat untuk menangkap dan menyimpan karbon di bawah tanah kita, ia tidak akan percuma. Sudah tentu ada bayarannya.
“Jadi ini menjadi satu lagi pendapatan untuk Sarawak dan dalam masa, marilah kita bersama-sama berdoa agar geologi kita kekal stabil dan dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan Sarawak,” ujar beliau.

Beliau berkata sedemikian setelah menghadiri ‘Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier’, anjuran TVS bertempat di Hikmah Exchange, di sini pada Sabtu.
Bual bicara berkenaan berakhir dengan sambutan sempena ulang tahun ke-7 kepimpinan Premier Sarawak mentadbir Sarawak, dengan upacara memotong kek pulut kuning.
