Kapasiti melebihi kemampuan, kerajaan Sarawak bakal bina KIA baharu, manakala KIA lama untuk penerbangan persendirian
Sarawak Bakal Bina KIA Baharu, KIA Lama Mungkin Akan Dijadikan Penerbangan Persendirian. Kerajaan Sarawak akan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang baharu berikutan kekurangan kemudahan lapangan terbang sedia ada untuk menampung peningkatan penerbangan dan muatan penumpang, serta untuk memenuhi wawasan Sarawak menjadi hab penerbangan serantau di ASEAN.
Menurut laporan media, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata, kerajaan Sarawak sedang menjalankan kajian mengenai perkara ini berikutan peningkatan trafik udara.

Beliau berkata, Sarawak memerlukan lapangan terbang baharu untuk menjadi hab penerbangan, dan ini bertepatan dengan keputusan Sarawak untuk membina pelabuhan laut dalam berikutan wawasannya menjadi hab pelabuhan antarabangsa di rantau ini.
Lokasi masih belum tahu, namun akan bekerjasama dengan MAHB
Lokasi untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu masih belum dikenalpasti dan ia bukan sahaja akan menampung penumpang, tetapi juga untuk kargo komersial, kata Abang Johari.
Beliau berkata, Sarawak mungkin akan bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bergantung kepada keupayaan modal.
Mengenai KIA Kuching yang sedia ada, beliau berkata ia mungkin akan ditukar menjadi lapangan terbang untuk pesawat persendirian.
Sebelum ini, beliau berkata Sarawak sedang menuju menjadi hab penerbangan serantau ASEAN yang lain selepas pengambilalihan MASwings untuk menyokong pertumbuhan industri penerbangan di Sarawak.
