Sukan Borneo Bakal Kembali? Sarawak Usulkan Kepada Sabah, Brunei dan Kalimantan
Sarawak Cadang Mahu Hidupkan Semula Sukan Borneo, Siap Sedia Jadi Tuan Rumah. Kerajaan negeri Sarawak telah mencadangkan agar Sukan Borneo dihidupkan semula, melibatkan penyertaan atlet dari Sarawak, Sabah, Brunei, dan Kalimantan, Indonesia.
Premier Sarawak, Abang Johari Openg, telah menyatakan bahawa beliau sudah lama memikirkan idea ini dan telah membangkitkan isu ini kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.

Kerajaan Sarawak Bincang Hidupkan Semula Sukan Borneo Selepas 15 Tahun
“InsyaAllah, saya akan mengemukakan idea ini kepada rakan-rakan kita di Sabah, Brunei, dan Indonesia,” katanya ketika berucap di majlis makan malam sambutan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, malam tadi.
Sukan Borneo ini kali terakhir dianjurkan di Brunei pada tahun 2009. Dengan kesediaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA, kerajaan negeri merancang untuk berbincang dengan Brunei dan Indonesia mengenai kemungkinan menganjurkan Sukan Borneo.
“Kita di Sarawak akan cuba menjadi penaja utama Sukan Borneo,” tambah beliau, sambil menekankan bahawa sukan ini akan menjadi platform terbaik untuk mempersiapkan atlet negeri menghadapi pertandingan di peringkat antarabangsa.

