Sarawak Sedia Anjur Acara Tinju Sempena Sukan SEA 2027
Sarawak Bersedia Anjur Acara Tinju Sukan SEA 2027, Gelanggang Dicadang Dibina Di Sri Aman. Sarawak kini menunjukkan komitmen tinggi sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 apabila menyatakan kesediaan untuk menganjurkan acara sukan tinju di negeri itu. Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Stadium Perpaduan Sri Aman telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi utama yang dicadangkan bagi acara tersebut.
“Ketika Sukan Malaysia (SUKMA) yang lalu, saya lihat sendiri bagaimana semangat dan sokongan penonton di Sri Aman begitu luar biasa. Penyokong memberikan sorakan yang membakar semangat atlet kita. Ini antara sebab kami mencadangkan lokasi ini sebagai venue utama tinju untuk Sukan SEA 2027,” katanya semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri kementeriannya di Kuching pada Ahad.

Pembinaan Velodrom Masih Dalam Perancangan
Sokongan padu dari komuniti setempat terhadap sukan tinju dilihat sebagai faktor utama dalam pemilihan venue tersebut, selain kemudahan yang sedia ada di stadium itu.
Dalam pada itu, Abdul Karim yang turut memegang portfolio sebagai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak turut memaklumkan bahawa projek pembinaan velodrom pertama di Pulau Borneo masih berada di peringkat perancangan.
Disebabkan itu, kemungkinan besar acara sukan berbasikal untuk temasya tersebut akan diadakan di negeri lain.
“Walaupun masih dalam perancangan, kita tetap mahu teruskan usaha membina velodrom pertama di Borneo, yang bakal terletak di Kuching. Apa yang penting, velodrom ini akan dibangunkan sebagai fasiliti pelbagai guna, bukan semata-mata untuk sukan berbasikal sahaja,” jelas beliau lagi.
Setakat ini, sebanyak 36 acara sukan telah dikenal pasti untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027. Daripada jumlah itu, 18 acara akan berlangsung di Sarawak, manakala selebihnya dijadualkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Komitmen Sarawak dalam penganjuran temasya sukan serantau ini jelas menunjukkan negeri itu bersedia memainkan peranan besar dalam memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.

