Promosi sayur midin di Singapura dijual pada harga RM 37 sekilo!
Sayur Midin Laku Keras Di Singapura Sehingga Pesanan Borong Terpaksa Ditutup Sementara. Sebut sahaja sayur midin, mesti anda akan teringat dengan negeri Sarawak, betul tak?
Jika anda berkunjung ke Sarawak, tak sah rasanya jika anda tidak merasai hidangan wajib cuba di Sarawak iaitu lauk sayur midin. Tahukah anda bahawa sayur midin ini rupanya ‘laku teruk’ di negara jiran, Singapura?
Menerusi ciapan seorang pengguna @datukhensem di laman Twitter, sayur midin dikatakan menerima permintaan yang sangat tinggi di Singapura sehingga pesanan terpaksa ditutup buat sementara waktu.
TIL sayur midin banyak peminat di Singapore. Baru baru ini Sarawak Trade and Tourism Office di Singapore ada promo jual sayur midin. Laku teruk sampai tak ambik order dah. Harga promo midin masa itu ialah SGD112.15(RM342) untuk 10kg. Di Sarawak 1kg berapa? pic.twitter.com/rT5bpHrtwZ
— Datuk Jahat Hensem (@datukhensem) November 4, 2020
Permintaan dahsyat, pesanan terpaksa ditutup 5 hari lebih awal
Pengumuman ini dibuat oleh Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS) di laman Facebok rasmi mereka pada 29 Oktober yang lalu.
Pengeksport sayur midin Sarawak ke Singapura iaitu Bountiful Harvest terpaksa menutup pesanan sayur midin 5 hari lebih awal. Pesanan tersebut sepatutnya berakhir pada hari ini iaitu 4 November 2020 jam 6 petang.

Pesanan sayur midin tersebut akan dihantar dari Sarawak ke Singapura pada hari Ahad (8 November 2020) dan akan dihantar terus kepada pembeli di Singapura pada keesokan harinya (Isnin, 9 November 2020) antara jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari.
Ada promosi harga ‘tak masuk akal’ rupanya
Sayur midin yang boleh dibeli melalui platform take.sg tersebut telah mendapat sambutan hangat apabila penjual menjualnya dengan harga promosi iaitu SGD 60.75 (RM 185.29) untuk 5 kilogram, manakala SGD 112.15 (RM 342.07) untuk 10 kilogram. Seorang pembeli dihadkan kepada 10 kilogram pembelian sahaja. Fuh! Patutlah laku.
Jika dihitung berdasarkan harga sekilo, sayur midin ini dijual dengan harga boleh mencecah RM 37 sekilo di Singapura! Mungkin harga ini sudah dikira sangat murah di Singapura berdasarkan nilai sayur ini yang sangat ‘rare’ di negara tersebut.
RM 2 sahaja seikat kalau di pasar tamu Sarawak
Walau bagaimanapun, sayur midin ini boleh didapati dengan harga sekitar RM 2 sehingga RM 4 sahaja untuk seikat dan kebanyakannya dijual di pasar tamu di seluruh Sarawak. Kebiasaannya, sayur midin tidak dijual menggunakan kaedah timbang kilo tetapi sebaliknya ia telah siap diikat dalam bungkusan daun buan, daun pisang atau diikat menggunakan tali nilon atau getah.
Malah, anda boleh mendapatkan bekalan sayur midin ini setiap hari dengan harga yang sangat murah di sini.
Disebabkan keunikannya yang hanya terdapat di Sarawak, hidangan sayur midin ini sering dijadikan hidangan berharga ‘mewah’ di restoran makanan laut dan restoran bertaraf 5 bintang.
Jika anda berkunjung ke Sarawak, kami sarankan anda untuk merasai hidangan midin belacan yang pastinya akan menyebabkan anda jatuh cinta dengan hidangan sayur-sayuran yang biasanya cliche dan tidak begitu menyelerakan.
Kredit foto : Cookpad
