Ketahui cara untuk melindungi diri anda daripada pembuli
Selalu Dibuli Di Sekolah? Ini 7 Cara Anda Boleh Lakukan Untuk Melindungi Diri Anda. Amalan buli telah wujud di mana-mana sejak zaman dahulu lagi. Malangnya ia adalah amalan yang masih dilihat hari ini walaupun banyak inisiatif dilakukan untuk membendung amalan ini.
Walaupun menghadapi pembuli tidak semestinya pilihan paling selamat (terutamanya jika pembuli anda secara fizikal lebih besar atau mempunyai ‘geng’ mereka sendiri), terdapat cara untuk melindungi diri anda sekiranya anda menjadi mangsa buli. Jika anda seorang mangsa kepada pembulian di sekolah, berikut adalah 7 cara boleh dilakukan untuk menghindari bulian.
1. Berjalan bersama-sama dengan rakan
Pada waktu rehat, makanlah bersama rakan-rakan. Anda tidak semestinya perlu berada dalam kumpulan besar, hanya dengan seorang peneman boleh membawa perubahan. Sebaiknya, amalkan sentiasa ditemani rakan-rakan.
Ini adalah untuk mengelakkan diri anda daripada kelihatan terdedah dan terdedah kepada sasaran buli. Ingat bahawa pembuli cenderung untuk membuli orang yang bersendirian kerana mereka fikir mereka mempunyai kuasa untuk menakut-nakutkan mereka.
2. Abaikan si pembuli
Apabila pembuli datang untuk mengganggu anda, praktikkan cara untuk abaikan pernyataan yang menyakitkan.
Pembuli mahu anda bertindak balas. Matlamat mereka adalah untuk mengambil kuasa anda, membuat anda sedih dan takut. Dan jika anda menunjukkan kepada mereka bahawa anda tidak sedih dan takut, mereka akan kehilangan minat.
Dengan mengabaikan pembuatan pembuli, anda menunjukkan anda tidak peduli. Lama-kelamaan pembuli akan rasa bosan dan berhenti untuk menggangu anda.
Tetapi sebaiknya elakkan pergi ke tempat pembuli anda melepak. Jika anda tahu di mana mereka sering melepak, elakkan pergi ke tempat itu jika tempat itu tidak perlu anda lawati.
4. Tahan kemarahan anda
Jangan tewas kepada emosi! Sekiranya anda menunjuk anda berasa sedih, takut atau menangis, itu lah yang disukai oleh para pembuli dan menggalakan pembuli untuk berasa berkuasa dan hebat.
Elak daripada menunjuk emosi anda seboleh yang mungkin. Jika anda rasa emosi anda semakin sukar untuk ditahan, jauhkan diri anda daripada situasi itu dan pergi serta-merta sebelum ejekan pembuli menguasai emosi anda.
Apabila anda pergi, jangan tunjukkan keadaan emosi anda yang terdedah. Sebaliknya, pasang muka berani dan pergi dari situ dengan yakin. Body language ini akan menunjukkan bahawa anda langsung tidak peduli dengan mereka – tunjukkan bahawa anda tidak kisah.
5. Ketawakan gangguan tersebut
Sekiranya pembuli masih kekal nak ganggu anda, daripada anda memberi respon yang agresif, sebaliknya, ketawakan gangguan itu.
Kerap berikan respon yang tidak memuaskan bagi pembuli dan lama-kelamaan pembuli akan rasa bosan dan berputus asa untuk menggangu anda sebab anda sudah tidak memberi respon yang dikehendaki oleh pembuli.
Contohnya, jika pembuli menggunakan kasut anda sebagai ejekannya, ketawa sekali dan beri respon seperti “Hahaha! Yalah, kasut saya memang buruk, kan?”
Taktik ini juga boleh digunakan jika pembuli anda memanggil anda dengan nama-nama yang kurang sedap. Daripada menunjukkan betapa negatifnya kesan ejekan itu kepada anda, cuma ketawa dan beredar dari situ.
Dengan memberi respon yang menghiburkan sebagai cara untuk mengawal emosi sebenar anda, anda mampu mengejutkan mereka. Ingat, mereka hanya hendak anda untuk memberi respon negatif.
Jika anda menunjukkan anda boleh respon dengan cara positif, mereka akan berasa bosan dengan anda.
6. Jadi lebih asertif
Pastikan anda mengetahui antara tingkah laku agresif dan tingkah laku tegas. Orang yang tegas berdiri untuk hak-hak mereka dan selesa mempertahankan diri atau orang lain terhadap ketidakadilan dan menggunakan suara yang kuat dan yakin untuk merapatkan pandangan mereka dengan penuh hormat.
Orang agresif, disebaliknya, menggunakan kawalan, menakut-nakutkan dan menjerit untuk mendapatkan apa yang dikehendaki mereka.
Jangan terpengaruh kepada tindakan agresif atas sebab mahu menyelamatkan diri. Sekiranya anda merasai tindakan seseorang terhadap anda adalah agresif, anda harus memberitahu rakan atau seorang yang berjawatan tinggi daripada anda mengenai hal ini.
Sebaiknya, elak melawan atau buli seseorang kembali. Laporkan masalah ini dengan segera jika anda merasakan pembuli anda telah membuli anda secara melampau.
7. Jangan berahsia, beritahu orang lain mengenai masalah ini
Ini adalah perkara yang paling penting dibuat jika anda merasakan anda menjadi mangsa buli. Pada saat anda rasa anda telah dibuli, terus laporkan perkara tersebut kepada ibu bapa atau cikgu anda.
Jangan lupa untuk menyimpan segala bukti yang si pembuli telah melakukan terhadap anda. Ini boleh dilakukan dengan menulis sebuah jurnal atau buku harian faktual mengenai peristiwa harian seperti tarikh, masa, dan apa yang berlaku pada hari tersebut.
Tuliskan nama saksi dan hasil dari peristiwa itu. Ingat, ini bukan hanya sifat kejadian, tetapi bilangan, kekerapan, dan terutamanya corak yang boleh mendedahkan pembuli.
Ingat, tiada siapa yang layak dibuli dan ia bukan salah anda jika anda dibuli. Melaporkan perkara ini kepada pihak sepatutnya hanyalah satu cara untuk melindungi diri anda daripada menjadi mangsa buli pada masa hadapan.
Jangan jadi pembuli pula
Kadang-kadang kita akan tewas kepada emosi dan meluahkan emosi itu secara negatif kepada orang lain. Jangan tempiaskan emosi itu sehingga ia juga jatuh ke tahap pembuli.You are better than that!
Sebaliknya, jika anda dibuli, jangan ambil tindakan secara agresif dan bertindak secara bijak dan pantas untuk menewaskan pembuli. Bagi mereka yang tidak dibuli, sekiranya anda melihat salah satu rakan anda dibuli di sekolah, segera bertindak untuk membantu mereka.
Berikut ialah talian yang boleh anda hubungi jika anda ingin membuat aduan tentang kes buli yang berlaku kepada anda atau jika anda tahu seseorang dibuli di sekolah:
- Buat aduan di portal ‘Aduan Buli’ Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di www.moe.gov.my/aduanbuli. Ia menyediakan maklumat lanjut tentang cara mengemukakan aduan.
- Hotline – 03-8884 9352 (buka setiap hari kecuali cuti umum, Sabtu dan Ahad)
- WhatsApp – 014-8009325 (buka 24 jam)
- E-mel – [email protected]
- Sistem pengurusan aduan awam KPM (Sispa)
