Kesemua mangsa berjaya diselamatkan
Sembilan Wanita Cemas Terperangkap Dalam Lif Di Sebuah Hotel Di Kuching. Sembilan wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam lif di sebuah hotel, Jalan Bukit Mata, pada sabtu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, pihaknya menerima laporan tersebut sekitar jam 10:34 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan diketuai PBK I KUP Abdul Aziz Swadi bergegas ke lokasi setelah menerima laporan berkenaan.
“Setiba di lokasi mendapati seramai sembilan mangsa wanita terperangkap dalam lif di tingkat empat hotel berkenaan.
“Pasukan bertindak naik ke tingkat empat bangunan itu menggunakan tangga bangunan dan membuka lif tersebut menggunakan peralatan penyelamat (spreader),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kesemua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat.
“Setelah memastikan keadaan selamat, anggota seterusnya bergerak balik ke balai dan operasi ditamatkan pada 11:02 malam,” jelasnya.
