Jual beli kini boleh dilakukan tanpa tunai
Serikin Jadi Pasar Sempadan Pertama Di Malaysia Perkenal Sistem Pembayaran Secara Cashless. Serikin, sebuah penempatan sempadan unik yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar di sini telah menjadi pasar sempadan tanpa tunai pertama negara menerusi perkhidmatan kewangan digital Merchantrade Asia Sdn Bhd.
Merchantrade berkata dalam satu kenyataan hari ini berkata lebih 100 peniaga di pasar sempadan yang diadakan pada hujung minggu di Serikin berdaftar di bawah fasa awal kempen e-Duit@Serikin.

“Usaha kerjasama antara Merchantrade, Bank Negara Malaysia dan Payments Network Sdn Bhd (PayNet) ini telah dilancarkan pada September 2023 untuk memacu penerimaan pembayaran digital dalam komuniti luar bandar Sarawak, bermula dengan pasaran hujung minggu Serikin dan mengubahnya menjadi pasaran sempadan tanpa tunai pertama negara,” katanya.
Terletak di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia, pasar hujung minggu itu adalah kawasan perdagangan yang sibuk, menawarkan pelbagai jenis kraftangan Indonesia, tekstil, batik, mainan, permaidani dan banyak lagi; kemeriahannya telah menarik peniaga dari Kalimantan dan pelancong dari seluruh dunia.
Peniaga menggunakan eWallet Merchantrade Money sebagai sebahagian daripada kempen eDuit @ Serikin, membolehkan pengunjung membuat pembayaran digital melalui kod QR, memudahkan membuat pembayaran serta-merta tanpa perlu menggunakan tunai fizikal dan penukaran mata wang.
Kempen ini lebih menarik dengan insentif pulangan tunai dan cabutan bertuah yang membantu menghubungkan penggunaan pembayaran QR Merchantrade Money DuitNow.
Ramai peniaga teruja untuk menggunakan kaedah pembayaran baharu itu dan bersaing untuk mendapatkan volum urus niaga tertinggi semasa kempen.
Pengarah Urusan Merchantrade Ramasamy K. Veeran berkata kempen itu telah menunjukkan impak perkhidmatan kewangan inklusif kepada komuniti tempatan Serikin, ia adalah seiring dengan agenda digital kerajaan.
“Ekosistem digital yang kami bangunkan dengan penyelesaian inovatif Merchantrade Money DuitNow QR telah memudahkan pembayaran dengan lebih selamat dan mudah untuk peniaga dan pelanggan.
“Kami telah melihat peningkatan dalam celik kewangan digital dan peningkatan dalam ekonomi tempatan Serikin,” katanya.
Peralihan kepada urus niaga digital telah mengurangkan dengan ketara risiko kehilangan tunai atau kecurian kepada peniaga yang sering melintasi sempadan antarabangsa untuk pelbagai urusan dan memastikan pematuhan undang-undang kedua-dua negara.
Selain itu, peniaga boleh menukar dana ringgit Malaysia mereka kepada rupiah Indonesia menggunakan ciri penukaran pelbagai mata wang dalam aplikasi Merchantrade Money apabila mereka kembali ke Indonesia.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak Datuk Henry Harry Jinep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru meliputi Serikin, menekankan kepentingan pembayaran digital untuk pertumbuhan di luar bandar.
“Mengamalkan pembayaran digital adalah penting untuk mempercepatkan celik kewangan digital dalam kalangan masyarakat membangun seperti Serikin di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kejayaan kempen tersebut menekankan kuasa kerjasama, inovasi dan transformasi, merapatkan jurang digital dan memperkasakan komuniti tempatan dengan alatan, pengetahuan dan sokongan untuk penggunaan lancar perkhidmatan kewangan digital.
Merchantrade dan rakan usaha samanya menyasarkan untuk mencontohi kejayaan di Serikin dan mempromosikan kewangan digital untuk lebih ramai komuniti luar bandar dan komuniti yang tidak mendapat perkhidmatan berkenaan di seluruh Malaysia.

