Meraikan Kejayaan Projek Pertanian Lestari yang Disokong oleh WWF-Malaysia dan CIMB Islamic
Sistem Intensifikasi Padi (S.R.I) Berjaya Bantu 88 Petani Di Ba’ Kelalan. Sistem Intensifikasi Padi (S.R.I), sebuah projek pertanian lestari yang disokong oleh Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) telah mencapai kejayaan yang bermakna dan kini telah membantu 88 petani tempatan serta keluarga mereka di Ba’ Kelalan, Sarawak.
Pada tahun 2017, projek perintis dimulakan di Long Langai, salah satu kampung di Ba’ Kelalan, dengan hanya 12 orang petani dan kini telah meluas ke empat kampung berdekatan, iaitu Buduk Bui, Long Rangat, Long Lemutut, dan Long Kumap. Ini menunjukkan penerimaan positif terhadap prinsip S.R.I yang menekankan pertanian bebas bahan kimia dan membantu mengurangkan perosak seperti siput gondang emas.

Kejayaan inisiatif S.R.I menunjukkan komitmen dan dedikasi para petani, yang telah menjadi pendorong utama di sebalik projek ini. Dalam kerjasama yang membanggakan, mereka telah bersatu di bawah kepimpinan Ahli Tugas S.R.I (S.R.I Task Force). Tujuannya adalah untuk berkongsi pengetahuan tentang amalan pertanian yang baik, membimbing petani baru, dan menerapkan prinsip-prinsip penting seperti kelestarian alam sekitar.
Dalam satu majlis yang baru-baru ini diadakan, petani menyaksikan pembukaan rasmi sebuah bilik stor oleh Ria Gugkang Sakai, Pengerusi Ahli Tugas S.R.I, Dr. Jason Hon, Pengarah Bersekutu Sarawak dan Sains Pemuliharaan WWF-Malaysia, Brendan Kon, Pengarah Urusan Antares Ventures serta wakil-wakil dari CIMB Islamic. Stor S.R.I adalah salah satu pencapaian penting yang melambangkan pemerkasaan komuniti secara berterusan. Ahli Tugas S.R.I akan mengawasi operasi bilik stor untuk memastikan semua petani S.R.I mematuhi garis panduan penggunaan fasiliti tersebut. Fasiliti ini berfungsi sebagai sumber yang berharga untuk menyimpan mesin, memproses dan menyimpan padi.


Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, menyatakan, “CIMB Islamic terus memberi tumpuan kepada kelestarian, dengan mengamalkan panduan dan prinsip intermediasi berdasarkan nilai dalam setiap tindakan yang diambil. Kami berbangga dengan kerjasama rakan sefikiran untuk membawa perubahan positif yang berkekalan kepada masyarakat. Kami dengan gembiranya sekali lagi menjadi pemangkin bagi inisiatif komuniti bersama WWF-Malaysia melalui projek pertanian S.R.I. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada kehidupan petani di kawasan Ba’ Kelalan, serta menunjukkan sinergi yang bermanfaat daripada kerjasama lestari dan usaha masyarakat.”
Dr. Hon menegaskan, “Petani merupakan juara inisiatif ini. Penglibatan aktif mereka dan perkembangan projek ini ke kampung-kampung jiran menunjukkan kejayaan pendekatan pemuliharaan yang dipimpin oleh komuniti. Ia juga menyumbang kepada kehidupan petani dan menggalakkan pemuliharaan alam serta tanggungjawab terhadap alam sekitar di kawasan tersebut.
“Dengan sokongan dari CIMB Islamic Bank Berhad dan agensi lain, kami telah menjalankan pelbagai aktiviti. Antara aktiviti yang telah kami laksanakan termasuk pemasangan paip pengairan bagi kawasan Long Langai dan Long Lemutut, sementara tiga kampung lain di Long Rangat, Buduk Bui, dan Long Kumap dijangka akan siap dalam masa terdekat. Pengurusan air merupakan aspek utama dalam S.R.I. Oleh itu, paip-paip ini adalah sangat penting,” kata Dr. Hon. Dr. Hon menambah bahawa sesiapa yang membeli beras yang ditanam menggunakan kaedah S.R.I dari Ba’ Kelalan, boleh berasa yakin bahawa mereka tidak hanya menyumbang kepada pertanian lestari tetapi juga kepada pemuliharaan alam melalui tindakan kolektif petani.
“Menjadi sebahagian daripada S.R.I bukan sahaja meningkatkan amalan pertanian kami dan mengubah sawah kami, tetapi juga memberi rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar. Kami bangga menyokong amalan pertanian lestari di kampung kami,” kata Ria.

Ria menambah, “Kami menyaksikan perkembangan S.R.I di Ba’ Kelalan dari satu kampung kepada empat. Stor S.R.I merupakan salah satu pencapaian yang menunjukkan kekuatan kolektif dan perpaduan komuniti kami. Perjalanan S.R.I telah menyatukan penyokong projek dan petani tempatan, berkongsi pengetahuan secara terbuka, serta berusaha untuk memperbaiki cara pertanian kami. Penambahbaikan yang ketara termasuk pemasangan paip pengairan dan latihan yang diperlukan, termasuk sesi bersama pakar-pakar.”
Projek penanaman padi S.R.I adalah contoh terbaik kerjasama antara masyarakat tempatan, rakan korporat, dan organisasi pemuliharaan untuk impak positif terhadap manusia dan alam sekitar. Ia mewujudkan situasi menang-menang bagi petani dan ekosistem dengan meningkatkan hasil padi, menyumbang kepada pendapatan petani, dan mengurangkan tekanan terhadap pembukaan hutan. Pendekatan bebas bahan kimia turut menyumbang kepada kebersihan sungai dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Selain itu, projek ini menyediakan paip berkilometer untuk pengaliran air dari bukit ke sawah padi, dipasang oleh petani secara gotong-royong. Pemantauan WWF-Malaysia menunjukkan kawasan tadahan Ba’ Kelalan sekitar 7,000 hektar masih kekal dengan penutupan hutan yang baik.
Baca juga artikel di bawah: