Hasil aduan orang awam, Sun Bear yang malang ini akhirnya diselamatkan pihak berwajib.

Bayangkan sekiranya seorang manusia ditempatkan di dalam sebuah sangkar yang kecil, serta diletakkan di kawasan yang asing daripada habitat asal kita, haihhh boleh mendatangkan gangguan emosi wo! Inikan pula haiwan yang tidak mampu untuk berkata-kata atau memberikan sebarang isyarat untuk hidup bebas. Dikurung selama 7 tahun dan diletakkan di belakang halaman rumah di Taman Demak Laut, Sun Bear atau nama biasanya Beruang Madu, telah berjaya diselamatkan oleh pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC).


Sebelum misi menyelamat tersebut, seorang bekas penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sandra Wong Jye Wen, memuat naik posting aduan di laman Facebook dan menyuarakan kebimbangan beliau tentang keadaan sun bear tersebut yang tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa. Postingan ini telah mendapat 696 perkongsian dan turut menarik perhatian WWF Malaysia serta orang ramai untuk menggesa agar haiwan ini diselamatkan dengan kadar segera.

Akhirnya, dengan kuasa viral, isu sun bear tersebut telah mendapat perhatian pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) beberapa hari kemudian. Sun bear tersebut diselamatkan oleh pihak penguatkuasa setelah siasatan mendapati bahawa pemilik sun bear tersebut tidak mematuhi terma dan syarat pelesenan yang telah ditetapkan. Haiwan tersebut segera dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk pemeriksaan kesihatan dan proses rehabilitasi.
Mengapa sun bear mesti dilindungi?

Untuk pengetahuan korang, sun bear atau nama saintifiknya Helarctos malayanus merupakan spesis haiwan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 dan tersenarai dalam Red List – International Union for Conservation of Nature (IUCN). Haiwan yang berisiko tinggi mengalami kepupusan ini juga merupakan satu-satunya beruang yang hidup di atas pokok dan merupakan beruang kedua paling jarang selepas giant panda. Penting untuk kita lindungi haiwan ini kerana ia merupakan agen penyebaran biji benih secara semulajadi selain mengawal populasi anai-anai yang mengancam pokok hutan hujan tropika. Lagi satu, beruang ni hanya wujud di kawasan Asia Tenggara tau!
Haiwan omnivor ini menjadi buruan kerana ia mempunyai nilai komersial yang tinggi. Dagingnya sering dijadikan makanan eksotik, taringnya dijual sebagai cenderahati manakala hempedu sun bear ini dijadikan ubat tradisional masyarakat di Asia.
Miliki sun bear adalah satu kesalahan, penjara 1 tahun dan denda RM10,000!
Kalau anda ada hasrat nak bela sun bear ini sebagai teman serumah ala-ala si kucing Dodi Dato’ Alif, rasanya anda boleh melupakan hajat tersebut kerana memiliki, membunuh, menjual dan membeli sun bear atau sesuatu yang berkaitan dengannya adalah salah di sisi undang-undang. Jika anda disabitkan kesalahan, anda boleh dikenakan hukuman penjara selama 1 tahun dan denda sebanyak RM10K. Adehh, dapat pake duit hantaran ya!
Oleh yang demikian, pihak SFC menggesa agar mana-mana individu yang memiliki haiwan terlindung seperti in, sama ada berlesen atau tidak, untuk menyerahkannya kepada pihak SFC secepat mungkin bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari.